Limus ketika ditemui media.
KUALA PENYU: Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ) terus memperkasa pelajar luar bandar dengan membantu lebih 8,000 pelajar sekitar Kuala Penyu dan Menumbok sejak lebih sedekad lalu.
Presiden YPLJ, Datuk Limus Jury berkata bantuan yang disalurkan bukan sahaja meringankan beban keluarga malah membuka laluan kepada pelajar luar bandar untuk menembusi bidang profesional dan meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.
“Sejak 2013 hingga kini antara 8,000 hingga 9,000 pelajar telah dibantu. Setiap tahun YPLJ tidak pernah gagal memberikan sokongan sama ada dalam bentuk kewangan, komputer riba atau pencetak.
“Ramai penerima kini telah berjaya menjadi doktor, jurutera dan profesional lain, bukti bahawa pelaburan dalam pendidikan benar-benar mengubah masa depan mereka.
“Selagi diberi kepercayaan untuk berkhidmat, usaha membantu pelajar Kuala Penyu dan Menumbok ini akan diteruskan demi memastikan setiap anak luar bandar menikmati peluang pendidikan setara dengan pelajar bandar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan YPLJ di Menumbok yang dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, pada Khamis.
Pada majlis itu, lebih 200 pelajar menerima bantuan termasuk komputer riba, pencetak dan sumbangan kewangan dengan nilai setiap set sekitar RM2,000 bergantung kepada pencapaian pelajar.
Sementara itu, penerima bantuan yang juga pelajar Tingkatan Enam SMK Kuala Penyu, Vanessa Alex, 18, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
“Saya memohon bantuan ini sekitar September lalu dan rasa sangat bersyukur kerana tidak perlu membeli komputer riba sendiri.
“Ia sangat membantu saya menyiapkan tugasan dan persediaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” ujarnya.


























