Hajiji bersama Datuk Limus Jury, tetamu jemputan dan orang ramai semasa Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035, Penyerahan Kunci Rumah SMJ, Perasmian Masjid Nur Ihsan, Penyerahan Warta Tanah dan Penyampaian bantuan Yayasan Pendidikan Limus Jury di Tapak Tamu Pekan Menumbok hari ini.
MENUMBOK: Rakyat Sabah diseru supaya memberi mandat baharu kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 bagi membolehkan Kerajaan meneruskan serta mempercepat pelaksanaan pembangunan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, mandat baharu itu penting bagi memastikan kesinambungan kemajuan yang telah dicapai melalui SMJ 1.0 (2021-2025) yang telah merekodkan pelbagai pencapaian memberangsangkan dalam pelbagai sektor.
“Berikan kami mandat baharu dan kami akan melaksanakan pembangunan yang lebih rancak di bawah SMJ 2.0 untuk Sabah. Fasa pertama SMJ 1.0 telah berjaya dilaksanakan, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan negeri terus bergerak maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035 serta merasmikan beberapa inisiatif komuniti di Tapak Tamu Pekan Menumbok, hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan kunci Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), perasmian Masjid Nur Ihsan Menumbok, penyerahan warta tanah kediaman anak negeri, serta penyampaian bantuan Yayasan Pendidikan Limus Jury.

Hajiji diiringi tetamu lain melakukan gimik pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035 di Menumbok hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS, mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan retorik dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap Kerajaan GRS.
“Lihatlah apa yang telah kita capai dalam tempoh lima tahun ini — memulihkan ekonomi selepas pandemik Covid-19 dan mengekalkan kestabilan politik. Tiada sebab untuk tidak memilih GRS semula kerana banyak kejayaan telah dicapai dan dinikmati oleh rakyat, dan usaha ini mesti diteruskan demi kebaikan berterusan Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan, adalah satu kerugian jika rakyat tidak memilih semula Kerajaan GRS.
“Kami fokus membantu rakyat, sedangkan pihak lain hanya tahu menabur fitnah, berbohong dan membuat pelbagai janji kosong — itulah kerja mereka,” katanya.

Hajiji menandatangani plak perasmian Masjid Nur Ihsan Menumbok hari ini.
Hajiji turut mengingatkan pengundi bahawa sebahagian pemimpin pembangkang pernah diberi peluang memegang jawatan penting termasuk menteri, namun gagal menyelesaikan masalah asas luar bandar.
“Sekarang mereka kata Kerajaan GRS gagal. Gagal di mana? Masalah air, elektrik dan jalan luar bandar yang kita hadapi hari ini adalah warisan daripada mereka. Apa yang mereka buat ketika berkuasa dahulu?” soalnya.
Menurutnya, Kerajaan GRS juga berjaya menarik ramai pelabur tempatan dan asing hasil dasar mesra pelabur yang diperkenalkan.
“Puluhan syarikat domestik dan antarabangsa kini melabur dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, sekali gus merancakkan ekonomi dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Hajiji menyerahkan warta tanah kediaman anak negeri kepada wakil penduduk pada majlis penyerahan di Tapak Tamu Pekan Menumbok hari ini.
Beliau menambah, Kerajaan sentiasa memastikan hasil pembangunan dikembalikan kepada rakyat.
“Tahun ini sahaja, kira-kira 100,000 rakyat berpendapatan rendah menerima bantuan bulanan RM300. Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, 70,000 orang termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas menerima bantuan bulanan berbanding hanya 30,000 sebelum ini,” jelasnya.
Di bawah Program Rumah Mesra SMJ, sebanyak 40 buah rumah telah dibina tahun ini dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 50 tahun depan, termasuk 10 buah rumah untuk pasangan muda yang baru berkahwin dan belum mampu memiliki rumah sendiri.
“Ini belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Hajiji menyerahkan replika kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima pada majlis penyerahan di Menumbok hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa sektor pendidikan terus diberi keutamaan dengan peruntukan berjumlah RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun bagi program biasiswa dan pelbagai bentuk bantuan pelajar.
Mengulas pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025-2035, Hajiji berkata, dokumen itu sejajar dengan agenda pembangunan SMJ bagi memastikan kemajuan seimbang untuk penduduk di kedua-dua daerah berkenaan.
Dalam lawatan itu, Hajiji turut merasmikan Masjid Nur Ihsan Menumbok yang siap dibina pada 27 Mac lalu dengan peruntukan RM3.26 juta daripada Jabatan Perdana Menteri (ICU).
Beliau turut merakam penghargaan kepada Yayasan Pendidikan Limus Jury yang telah membantu 5,350 pelajar di Kuala Penyu dan Menumbok melalui pelbagai inisiatif pendidikan.
Pada majlis sama, Hajiji menyerahkan tiga warta tanah kediaman anak negeri di bawah Seksyen 78 melibatkan Kampung Mansud (6.268 hektar), Kampung Purun (13.740 hektar) dan Kampung Tanjung Aru (24.339 hektar).
































