Rafie Robert
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak kenyataan Timbalan Ketua Penerangan Pusat Parti Warisan, Justin Wong yang mendakwa Kerajaan Negeri cuba “menumpang kredit” atas keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40 peratus hasil bersih Sabah, dengan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan berbaur politik murahan.
Setiausaha Pemuda GRS Pusat, Rafie Robert berkata, kenyataan tersebut jelas memperlihatkan Warisan masih gagal memahami proses perjuangan sebenar untuk menegakkan hak Sabah di bawah Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Warisan sepatutnya sedar bahawa perjuangan menuntut hak Sabah tidak boleh dilakukan secara populis atau emosional. Ia perlu berasaskan undang-undang, rundingan diplomatik dan keazaman politik yang konsisten — bukan sekadar berteriak dari luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah mengambil pendekatan matang dan bertanggungjawab dalam memperjuangkan hak kewangan negeri, termasuk hak 40 peratus hasil bersih, melalui saluran yang sah dan berpaksikan perlembagaan.
“Kerajaan Negeri tidak pernah menolak perjuangan Sabah Law Society (SLS). Sebaliknya, kedua-dua pihak mempunyai peranan berbeza tetapi matlamat yang sama — mempertahankan hak Sabah. Perbezaan pendekatan bukan tanda pertentangan, tetapi pelengkap kepada usaha bersama untuk mencapai hasil terbaik bagi rakyat,” katanya.
Rafie turut menegaskan bahawa dakwaan Warisan kononnya Kerajaan Negeri “berubah pendirian” adalah tidak tepat, kerana dasar Kerajaan sentiasa berpandukan kepada keadaan semasa dan perkembangan undang-undang.
“Pendekatan Kerajaan Negeri bukan flip-flop, tetapi fleksibel dan berprinsip. Bila perlu berunding, kita berunding. Bila perlu bertindak tegas, kita bertindak. Itu namanya kepimpinan berasaskan realiti, bukan retorik politik,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa Warisan hanya memerintah selama lebih dua tahun dan sepanjang tempoh itu tidak ada sebarang kemajuan bermakna dicapai dalam isu 40 peratus hasil bersih atau pelaksanaan MA63.
“Lebih dua tahun mentadbir negeri, Warisan gagal menunjukkan sebarang hasil konkrit dalam isu hak Sabah. Sekarang bila kerajaan lain berjaya membawa kemajuan, mereka pula cuba menunggang isu dan menafikan usaha orang lain. Itu sikap tidak bertanggungjawab,” kata Rafie yang juga Ketua Penyelaras Pemuda GRS Bahagian Keningau.
Menurutnya, perjuangan Kerajaan Negeri ketika ini bukan untuk mencari nama atau kredit politik, tetapi memastikan keputusan mahkamah benar-benar diterjemahkan kepada tindakan dan manfaat nyata kepada rakyat Sabah.
“GRS tidak menunggang kemenangan sesiapa. Apa yang penting ialah memastikan hak Sabah dilaksanakan dan rakyat menerima manfaat daripada perjuangan itu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah GRS sedang meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berjalan lancar, termasuk menyemak semula formula pembahagian hasil dan menuntut bayaran tertunggak.
“Rakyat mahukan hasil, bukan pertelingkahan. GRS kekal komited memperjuangkan hak Sabah secara berhemah, berdasarkan fakta dan undang-undang. Warisan boleh terus bermain politik, tetapi Kerajaan Negeri bekerja untuk rakyat,” tegas Rafie.