NEW YORK: Dua pesawat yang dikendalikan oleh anak syarikat Delta berlanggar di landasan Lapangan Terbang LaGuardia, di sini semalam, menurut pihak berkuasa.
Menurut Utusan Malaysia, Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey berkata, insiden melibatkan dua pesawat Endeavor Air berlaku pada pukul 9.58 malam (waktu tempatan) ketika sebuah pesawat sedang mendarat, manakala sebuah lagi bersiap sedia untuk berlepas.
Seorang individu dibawa ke hospital selepas dilaporkan mengalami kecederaan.
Delta turut melaporkan seorang pramugari mengalami kecederaan ringan.
Imej yang dikongsi media AS, menunjukkan kerosakan pada bahagian depan pesawat.
Pihak berkuasa pelabuhan berkata, operasi di LaGuardia, satu daripada lapangan terbang tersibuk di Amerika Syarikat (AS), tidak terjejas.
Delta, syarikat induk Endeavor Air, berkata ia akan bekerjasama dengan semua pihak berkuasa berkaitan untuk menilai semula langkah keselamatan selepas insiden yang disifatkan perlanggaran berkelajuan rendah ketika pesawat bergerak di landasan.
Berdasarkan maklumat awal, Delta berkata, sayap pesawat yang sedang bergerak menuju ke pintu berlepas ke Roanoke, Virgina, menyentuh fiuslaj pesawat yang baharu tiba.
Kedua-dua pesawat itu membawa sejumlah 93 penumpang dan anak kapal, kata Delta.