PETALING JAYA: Seramai 12 orang rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal mereka dipintas pagi tadi.
Manakala setakat pukul 7.50 pagi tadi, nasib lima lagi rakyat Malaysia yang berada di dua kapal berbeza masih belum diketahui selepas pusat kawalan hilang hubungan dengan mereka.
Menurut Utusan Malaysia, antara 12 individu yang ditahan:
- Heliza Helmi
- Nur Hazwani Afiqah Helmi
- Norfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee
- Danish Nazram Murad
- Nur Fazelah Mad Tahil atau Zizi Kirana
- Haikal Abdullah
- Muaz Zainal
- Zulfadhli Khairudin
- Rusydi Ramli
- Iylia Balqis
- Musa Nuwayri
- Sul Aidil
Sementara itu, lima lagi rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi tersebut dilaporkan hilang komunikasi dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) ialah Pendakwah bebas PU Rahmat atau nama sebenarnya Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan, Norhelmi, Mohd. Asmawi dan Norazman yang berada dalam kapal Estrella serta Nurul Hidayah Mohd. Amin atau Ardell Aryana di atas kapal Mikeno.
Misi GSF itu melibatkan lebih 500 aktivis dari 44 buah negara termasuk tokoh terkenal seperti Greta Thunberg dan Mandla Mandela, cucu kepada Nelson Mandela.
Armada terdiri daripada hampir 50 kapal itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej solidariti untuk rakyat Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan dan genosid oleh Israel.
GSF berlepas dari Barcelona sebagai usaha antarabangsa bagi menamatkan sekatan maritim yang dikenakan rejim Zionis terhadap Gaza sejak sekian lama.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan menggunakan segala saluran bagi memastikan Israel bertanggungjawab, khususnya membabitkan keselamatan rakyat negara ini yang menyertai misi tersebut.
Menurut beliau, keselamatan dan maruah rakyat Malaysia yang berada dalam misi tersebut adalah perkara utama.
“Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel telah menunjukkan sikap biadab terhadap hak rakyat Palestin dan dalam pada masa sama menunjukkan sikap angkuh terhadap masyarakat dunia,” katanya.






























