Tey (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Flovia.
PENAMPANG: Jabatan Penjara Malaysia disaran mengembangkan kursus fabrik seperti batik dan tenunan sebagai program kemahiran baharu khusus kepada prospek penjara di Sabah.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng berkata selain menambah kemahiran, kursus tersebut juga mampu memberi impak positif kepada ekonomi sekali gus mengangkat martabat seni warisan fabrik di negeri ini.
“Saya ingin menarik perhatian agar kursus fabrik dan tenunan tersebut dibawa ke Sabah. Saya percaya banyak kemudahan telah kita sediakan atau usahakan di Penjara Kota Kinabalu ini.
“Saya tekankan agar kursus ini diadakan di Penjara Sabah sebab di Sabah belum ada lagi kilang ataupun tenunan secara besar-besaran ataupun cetak batik.
“Jadi, saya harap (kursus fabrik) ini dapat dibawa ke Sabaran agar lebih banyak. Siapa tahu, kumpulan pertama yang berjaya membawa batik ini adalah daripada prospek Jabatan Penjara sendiri,” ujarnya.
Setakat ini, beberapa negeri telah menjalankan kursus fabrik antaranya, batik di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, tenunan songket di Pahang dan tenunan songket dan keringkam di Penjara Puncak Borneo, Sarawak.
Beliau membuat saranan berkenaan ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program MyPride Fest and Fair Zon Sabah 2025 di sini, pada Ahad.
Menurut Flovia, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada program yang menjadi platform untuk memperkenalkan produk serta kemahiran prospek penjara.
“Sebagai wakil kerajaan negeri, saya ingin menegaskan bahawa kami akan terus komited dalam menyokong program-program seperti ini yang bukan sahaja membantu memasarkan produk penjara, malah mampu mengeratkan jaringan kerjasama dan persefahaman antara institusi penjara, agensi kerajaan serta masyarakat setempat.
“Bukan itu sahaja, platform ini juga adalah sebagai promosi kepada produk hasil program latihan kemahiran dan vokasional yang dilaksanakan di institusi penjara.
“Saya berharap agar segala ilmu, pengalaman dan jaringan yang terjalin sepanjang program ini akan terus dikembangkan,” ujarnya lanjut.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan W.P Labuan Tey Hock Soon memaklumkan, pihaknya menyasarkan jumlah jualan sebanyak i kan bagi tahun ini.
“Sasaran ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap produk-produk penjara yang berkualiti, di mana produk ini boleh ditempah terus sama ada melalui brosur, iklan secara online atau secara fizikal di seluruh institusi penjara di Sabah,” jelas beliau.
Tey berharap semua pihak dapat menjadi agen perubahan serta membuka ruang dan peluang kepada prospek dan bekas prospek penjara untuk kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat, dan negara.
Hadir sama dalam program tahunan itu ialah Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah dan W.P Labuan AB Nasif Sarahan dan Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu Noor Sazlawati Zakaria yang juga Penganjur Program MyPride Fest and Fair Zon Sabah Tahun 2025.