KOTA KINABALU: Enam orang cedera ringan selepas sebuah kereta jenis Subaru terbakar sepenuhnya akibat bertembung dengan sebuah Perodua Myvi di hadapan Kampung Kopungit, Kepayan, di sini tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.32 tengah hari melalui talian MERS999.
Sebuah jentera LFRT bersama pasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, diketuai Komander Operasi PBK II Adanan Sapawi tiba di lokasi pada jam 12.40 tengah hari.
“Kebakaran melibatkan kenderaan Subaru yang terbakar 100 peratus akibat pertembungan dengan Perodua Myvi. Semua enam mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa terdiri daripada empat penumpang Perodua Myvi iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa serta dua kanak-kanak lelaki, manakala dua lagi mangsa ialah seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa dari Subaru.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta jentera EMRS Bomba,” katanya.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan kaedah ‘offensive’ menggunakan sumber air dari tangki jentera.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.50 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.03 petang.
Turut membantu di lokasi ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.