Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: ASEAN tak boleh menjadi pemerhati pasif dalam menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik global, sebaliknya memainkan peranan aktif dalam memimpin ketahanan bersama negara anggotanya.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN yang kini mempunyai daripada lebih 600 juta penduduk bukan sahaja blok yang perlu bertindak balas malah juga perlu melangkaui ketika memimpin usaha memperkukuh rantaian bekalan.
Katanya, ia juga perlu memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melabur dalam kelestarian serta menerima guna inovasi.
“Dengan kesepakatan ASEAN, saya percaya kita mampu mengangkat semula kekuatan ekonomi, bukan sahaja Malaysia malah juga rantau ini sebagai rantau yang penting dan kritikal dalam menghadapi ujian dan utamanya menjadikan kekuatan ekonomi sebagai kekuatan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Taman Botani Perdana di sini, malam tadi.
Sementara itu, Anwar turut mengalu-alukan cadangan bagi mengadakan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang pertama seumpamanya bulan depan dan menganggap ia sebagai satu inisiatif yang berani dan tepat pada masanya.
“Ini mencerminkan iltizam ASEAN untuk menangani masalah geopolitik dan geoekonomi yang saling berkait dengan perpaduan serta kepaduan berinstitusi,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, 2025 merupakan titik penting bagi ASEAN untuk membuktikan kemampuan bukan sahaja bergerak pantas, tetapi juga kekal bersatu dalam menghadapi landskap global yang sarat dengan cabaran dan ketidaktentuan.
Beliau berkata, tema Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, bukan sekadar slogan, sebaliknya komitmen strategik yang dizahirkan melalui 18 Keutamaan Ekonomi ASEAN (PED).
“Selepas berbulan-bulan sesi libat urus yang produktif, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa sebahagian besar daripada PED kini berada di landasan untuk dicapai menjelang tamat tempoh Pengerusian Malaysia,” katanya.
Menurutnya, pencapaian ini membawa manfaat nyata kepada perniagaan, PMKS serta rakyat ASEAN secara keseluruhannya.
“Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, ASEAN kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan KDNK dianggarkan 4.2 peratus pada 2025, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) meningkat 8 peratus kepada AS$226 bilion (RM938 bilion) pada 2024.
“Dengan populasi seramai 680 juta orang, kelas menengah yang semakin berkembang serta generasi muda celik digital, ASEAN kini muncul sebagai salah satu pasaran paling dinamik di dunia,” ujarnya.
Namun, Tengku Zafrul mengingatkan blok itu supaya tidak leka dan terus menumpukan usaha memperkukuh kapasiti industri, menyeragamkan peraturan, meningkatkan dagangan intra dan luar ASEAN serta memperkasa rakyat.