KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun menegaskan kepentingan memperkukuhkan jentera parti, khususnya di kawasan tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut beliau, jentera wanita GRS perlu lebih proaktif mengenal pasti pengundi di kawasan masing-masing serta memastikan strategi turun padang dilaksanakan dengan lebih tersusun.
“Jentera mesti perkemas gerak kerja. Kita jangan tunggu di pejabat, sebaliknya perlu turun padang, ziarah rumah ke rumah, dekati masyarakat dan kenali isu mereka secara dekat,” katanya semasa menghadiri Program Jentera Wanita GRS DUN N16 Karambunai dan DUN N18 Inanam bersama Ketua Wanita GRS di Inanam, di sini, semalam.

Turut hadir Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Ketua Penyelaras Wanita GRS Parlimen Sepanggar, Datuk Aziah Atoh; serta jentera Wanita GRS DUN Karambunai dan DUN Inanam.
Azizah berkata, kekuatan sebenar GRS terletak pada perpaduan dan kesediaan jentera akar umbi yang memahami aspirasi rakyat.
“Wanita adalah tulang belakang. Jika kita rapat dengan rakyat, kita dapat yakinkan mereka tentang perjuangan GRS sebagai wadah terbaik untuk membawa Sabah terus maju,” jelasnya.
Beliau menyeru agar semua pemimpin dan ahli wanita GRS terus berganding bahu, meningkatkan semangat juang serta memastikan setiap kawasan tumpuan berada dalam keadaan siap siaga.
“Dengan jentera yang mantap dan kesatuan yang kukuh, GRS pasti menjadi pilihan utama rakyat Sabah. Inilah masanya kita buktikan kekuatan sebenar, dan pastikan kemenangan besar milik GRS,” tegas Azizah.
































