KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah memanggil satu mesyuarat tergempar di Sri Gaya di sini hari ini, berhubung gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang menjejaskan pantai timur Sabah semalam (13 Sept).
Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof yang juga komander krisis mengendalikan kerja-kerja pemulihan bekalan, dalam taklimatnya berkata, gangguan bekalan itu berpunca daripada runtuhan menara 275kV Kolopis–Segaliud yang dihanyutkan tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
Taklimat tersebut turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong yang juga Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.

Hajiji dan Safar diberikan taklimat oleh Mohd Yusmanizam.
Yusmanizam berkata, pasukan krisis Sabah Electricity kini berada di lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja penyambungan semula talian penghantaran Kolopis–Segaliud.
Beliau memaklumkan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan, kerja penyambungan bekalan itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua hari.
“Saya faham keadaan berisiko tinggi dalam kerja pemulihan ini, dan walaupun kita harap ia dapat disiapkan segera, pada masa sama saya mahu mereka berhati-hati juga,” katanya.
Hajiji turut mengarahkan Sabah Electricity agar sentiasa memaklumkan perkembangan kerja kepada orang ramai dan memantau keadaan di lapangan berikutan cuaca buruk yang berterusan.
































