Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan menyambut baik rancangan Kerajaan Persekutuan untuk memisahkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP), sambil menyifatkannya sebagai reformasi penting yang sudah lama dinantikan bagi memperkukuh kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, langkah menamatkan konflik kepentingan sedia ada bukan sahaja akan mengukuhkan sistem keadilan, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kewibawaannya.
“PemIsahan peranan AG dan PP adalah satu langkah penting ke hadapan. Ia akan meningkatkan kepercayaan awam dan memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan tanpa pengaruh yang tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Dr. Jeffrey menegaskan bahawa reformasi tersebut tidak harus terhenti di situ kerana kebebasan kehakiman yang sebenar turut memerlukan perubahan di peringkat mahkamah bawahan.
“Pada masa ini, majistret dan hakim Mahkamah Sesyen — yang membuat keputusan dalam kebanyakan kes melibatkan rakyat biasa — masih berada di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, yang turut dianggotai oleh pemegang jawatan eksekutif. Ini membuka ruang kepada pengaruh eksekutif ke atas mahkamah,” katanya.
Beliau menggesa supaya pegawai kehakiman ini diletakkan sepenuhnya di bawah badan Kehakiman, dengan urusan pelantikan dan tatatertib dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara serta hakim-hakim kanan.
“Ini sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa dan akan mengembalikan keyakinan bahawa keadilan di semua peringkat bebas daripada tekanan luar,” tambahnya.
Dr. Jeffrey menekankan bahawa kedua-dua reformasi ini — pemisahan peranan AG dan PP, serta meletakkan mahkamah bawahan di bawah Kehakiman — adalah langkah kembar yang perlu bagi memastikan keadilan yang benar-benar bebas, tidak memihak dan berwibawa.


































