Ihsan KPDN
PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan Kempen Jalur Gemilang Kluster Industri bersama Petronas sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen yang dilancarkan di Stesen Minyak Petronas Papar, Sabah itu melibatkan penyertaan sebanyak 4,320 stesen minyak di seluruh negara sebagai usaha menggalakkan pembelian produk keluaran usahawan tempatan.
“Pada masa sama, Petronas turut melaksanakan Kempen Love Local bermula 25 Ogos hingga 30 September 2025 sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diselaraskan KPDN.
“Sepanjang kempen ini, produk-produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan akan dipamerkan di rak khas Kedai Mesra Petronas yang ditandakan dengan logo KBBM sebagai strategi promosi bagi meningkatkan akses pelanggan terhadap produk tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN menghargai komitmen Petronas yang konsisten mendukung agenda memajukan PMKS tempatan.
Jelasnya, inisiatif berkenaan juga menjadi sebahagian daripada program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sempena Bulan Kebangsaan 2025.
“Kedai Mesra kini mempunyai 1,842 pembekal produk tempatan, termasuk lebih 50 Kedai Mesra di Sabah.
“Hasil jualan produk PMKS terus menunjukkan momentum peningkatan dari tahun ke tahun dengan nilai melebihi RM150 juta,” katanya.






























