PETALING JAYA: Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki dipercayai anak bekas pemimpin, selain menemukan dadah dalam kereta miliknya di Lebuh Raya Sprint di sini Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki berusia 20-an terbabit.
“Ya, saya sahkan,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.
Difahamkan, penahanan itu dibuat ketika operasi pencegahan jenayah bersepadu oleh polis Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang dijalankan di sekitar Damansara.
Dalam operasi tersebut, kereta milik suspek diperiksa dan polis turut menemukan sejumlah kecil heroin bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Turut difahamkan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
























