Zara Qairina Mahathir
KUALA LUMPUR: “Kita akan teruskan.”
Menurut Utusan Malaysia, itu maklum balas ringkas oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar ketika dihubungi media berhubung permintaan pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir agar menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan yang terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu itu.
Terdahulu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan peguam itu, permohonan itu dibuat bagi membolehkan pertuduhan lebih berat dikenakan terhadap pelaku tersebut.
“Kami berharap mereka dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat. Jika keterangan sedia ada belum mencukupi, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi membolehkan pendakwaan dijalankan mengikut peruntukan itu,” jelas kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Semalam, Mohd. Dusuki memaklumkan lima remaja berkenaan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, esok, mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.
Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan dengan apa-apa cara atau kaedah, menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi mengancam, kasar, menghina.
Selain itu, ia membabitkan perbuatan mengancam, kasar atau menghina yang mana semua itu didengar, dilihat atau dengan apa-apa cara lain dialami oleh seseorang yang berkemungkinan berasa diganggu, tertekan, takut atau bimbang akibat perkataan, komunikasi atau perbuatan tersebut.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau dengan kedua-dua sekali.
Pertuduhan mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menggunakan atau membuat kata-kata, komunikasi, atau melakukan perbuatan yang mengugut, menghina, atau mencela terhadap mana-mana orang, dengan niat untuk memprovokasi orang itu menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau orang lain yang berkemungkinan akan memprovokasi orang tersebut untuk membahayakan dirinya atau orang lain.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-dua sekali. Sekiranya, orang yang diprovokasi itu mencuba membunuh diri atau berjaya membunuh diri, hukuman boleh dilanjutkan kepada penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, pasukan peguam keluarga Zara Qairina telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara pagi ini melalui emel bagi memohon pertimbangan semula terhadap bentuk pertuduhan yang akan dikenakan.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan tindakan untuk menuduh beberapa individu berkait dengan kematian Zara Qairina dibuat selepas meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Kata kenyataan itu, keputusan untuk menuduh suspek-suspek berkenaan tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.
Dalam pada itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan inkues bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kematian Zara Qairina bermula 3 September ini.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September ini untuk inkues tersebut.


































