Aznan Tamin melawat Izzul Islam Azuan Isaidi yang dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang menjadi mangsa buli sehingga mengalami gegaran otak dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini dibenarkan pulang hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 2, Izzul Islam Azuan Isaidi itu kini dilaporkan semakin stabil.
Katanya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan sokongan melalui sesi kaunseling, bantuan psikologi serta kewangan kepada keluarga terbabit.
“Kerajaan negeri akan memastikan pemantauan berterusan dilakukan supaya kes berkenaan dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini masih dalam siasatan pihak polis. Saya akan memastikan pemantauan rapi terus dilakukan agar kes ini dapat diselesaikan sebaiknya.
“Buli tidak boleh dikompromi dalam mana-mana keadaan dan usaha berterusan akan dilakukan untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan serta masa depan anak-anak Johor sentiasa terpelihara,” katanya selepas melawat mangsa buli itu di sebuah hospital swasta, di sini semalam.
Semalam, ibu kanak-kanak tersebut, Siti Suhana Misdi, 39, dilaporkan berkata, anaknya kini mula mengalami kemerosotan daya ingatan dipercayai akibat dua kejadian buli terhadapnya.
Dalam kejadian 21 Februari lalu, mangsa dipukul, dihentak kepala serta dipaksa bogel oleh murid darjah enam kerana pelaku tidak berpuas hati dengan kakak mangsa yang menolak cintanya.




























