Dennis “Tink” Bell, 25, seorang pengembara dan pegawai meteorologi dari London, terjatuh kira-kira 30 meter menembusi ais ketika menjalankan kerja tinjauan bersama rakan setugas di Glasier Ecology, Teluk Admiralty pada 26 Julai 1959.
LONDON: Misteri kehilangan seorang penyelidik Britain di Antartika sejak 65 tahun lalu akhirnya terungkai apabila mayat serta barangan peribadinya ditemui di kawasan glasier yang semakin mencair.
Dennis “Tink” Bell, 25, seorang pengembara dan pegawai meteorologi dari London, terjatuh kira-kira 30 meter menembusi ais ketika menjalankan kerja tinjauan bersama rakan setugas di Glasier Ecology, Teluk Admiralty pada 26 Julai 1959.
Usaha menyelamat yang dilakukan ketika itu gagal apabila tali yang digunakan putus, menyebabkan beliau terjatuh semula ke dasar rekahan ais dan tidak lagi memberi maklum balas.
Sejak itu, jasad Bell tidak pernah ditemui walaupun pelbagai usaha dilakukan namun pada Januari lalu, sekumpulan penyelidik dari Stesen Penyelidikan Henryk Arctowski, Poland yang menjalankan tinjauan di kawasan berkenaan, menemui tulang manusia di celahan ais dan batu.
Penemuan tersebut dibawa ke Kepulauan Falkland dengan menggunakan kapal penyelidikan BAS Sir David Attenborough sebelum dihantar ke London untuk ujian DNA.
Profesor Denise Syndercombe Court dari King’s College London mengesahkan padanan DNA dengan sampel milik abang dan kakak Bell, David Bell dan Valerie Kelly, dengan kebarangkalian melebihi satu bilion kali ganda berbanding orang tidak berkaitan.
Lebih 200 barangan peribadi turut dijumpai, termasuk peralatan radio, lampu suluh, batang paip ebonit, jam tangan berukir, pisau Mora buatan Sweden dan kayu ski, yang disahkan milik Bell.
Bell yang dibesarkan di Harrow, barat laut London, menyertai Tinjauan Ketergantungan Kepulauan Falkland (FIDS) kini dikenali sebagai British Antarctic Survey (BAS) untuk tugasan dua tahun di Pulau King George.
Rakan setugasnya, Jeff Stokes yang bersama Bell ketika tragedi berlaku, meninggal dunia lima minggu lalu sebelum mengetahui berita penemuan tersebut.
Abang mangsa, David Bell, yang kini tinggal di Australia berkata penemuan itu membawa kelegaan kepada keluarganya selepas sekian lama menunggu.
“Dia abang sulung dan idola saya. Membawanya pulang membantu kami menerima kehilangan ini,” katanya.
































