Ismail (tiga kiri) melepaskan peserta konvoi menuju destinasi seterusnya.
KINABATANGAN: Makna kemerdekaan harus dihayati dalam diri demi kemakmuran, perpaduan dan keharmonian negara,
Pegawai Khas Ketua Menteri, Mohd Ismail Ayob berkata, dalam kita menghayati erti kemerdekaan, perjuangan pejuang terdahulu harus lah dikenang dan dihayati.
“Merdeka ini harus kita sematkan, bukan sekadar menyebut laungan kemerdekaan tapi kita simpan dalam diri bahawa perjuangan pejuang terdahulu itu harus kita kenang untuk terus menjaga kemakmuran, keharmonian dan perpaduan yang ada di negara dan negeri Sabah ini.
“Bapak kemerdekaan kita adalah Tun Mustapha, perjuangan terakhirnya, beliau mengatakan negeri ini jangan sampai di jajah, jangan sampai dipimpin secara zahir tapi tidak secara batinnya.
“Sudah tentu itu amat bermakna kepada kita bahawa perjuangan pejuang terdahulu itu harus dikenang dan kita sebagai rakyat Sabah mengambil ini sebagai satu kekuatan kepada diri kira untuk meneruskan legasi dan mempertahankan hasil perjuangan pejuang-pejuang yang telah memerdekakan negeri Sabah ini, ” ujarnya ketika ditemui media dalam program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 peringkat Daerah Kinabatangan di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) merupakan salah satu program terbaik dalam menyemarakkan sambutan hari kebangsaan.
“KMJG adalah satu program yang sangat baik bukan sahaja dibulan kemerdekaan ini tetapi ini juga seharusnya dibuat pada selain bulan kemerdekaan dalam menyatupadukan, merapatkan dan menyantuni masyarakat tanpa ada garis sempadan antara jabatan-jabatan, pemimpin dan sebagainya.
“Manakala tema hari kebangsaan ‘Malaysia Madani Rakyat Disantuni’ kita lihat objektif dan misi itu sudah sampai yang mana pelbagai masyarakat daripada segenap umur datang meriahkan KMJG dengan pelbagai aktiviti, ” jelas beliau.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pengarah Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Suprintenden Ravi A/L Duraisamy.


































