PADANG BESAR: Tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan keluar bersama teman wanita bagi mendapatkan alat bantuan pendengaran di Kangar mendorong seorang warga emas berusia 81 tahun bertindak di luar jangka membakar pusat jagaan Rumah Sejahtera, Kaki Bukit di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, suspek dipercayai memulakan kebakaran tersebut dari kawasan almari di dapur sebelum menuju ke dewan utama dan membakar sebahagian ruang tersebut.
Kebakaran tersebut, mengakibatkan kira-kira 50 peratus kawasan dewan pusat jagaan itu musnah. Bagaimanapun semua penghuni rumah itu selamat.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV), kebakaran dipercayai dimulakan oleh salah seorang penghuni lelaki berusia 81 tahun.
Katanya, pusat jagaan tersebut menempatkan seramai 20 warga emas.
Ujarnya, siasatan lanjut mendedahkan motif kebakaran berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjaga pusat jagaan itu kerana tidak membenarkannya keluar ke Kangar untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran bersama teman wanita yang juga salah seorang penghuni pusat jagaan berkenaan.
“Suspek dipercayai memulakan kebakaran dari kawasan almari di dapur sebelum menuju ke dewan utama dan membakar sebahagian ruang tersebut. Kebakaran tersebut mengakibatkan kira-kira 50 peratus kawasan dewan berkenaan musnah,” katanya di sini kelmarin.
Tambah Mohd. Shokri, pihak bomba dan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) telah dipanggil bagi membantu siasatan serta mengambil sampel-sampel berkaitan untuk siasatan.
Katanya, jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Suspek diberikan jaminan polis.
“Kita juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta mengingatkan masyarakat untuk mengawal emosi dan menggunakan saluran yang betul bagi menyelesaikan sebarang perselisihan,” katanya.
































