Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Keputusan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk mengimport gas asli cecair (LNG) termasuk dari Amerika Syarikat (AS) bergantung sepenuhnya kepada keperluan negara dan pertimbangan komersial.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini sudah mengimport sebahagian sumber tenaga itu dari AS, namun jumlahnya tidak melebihi keperluan domestik.
“Kita juga mengeksport LNG ke Jepun, Korea Selatan dan China dengan permintaan dari China sangat tinggi. Jika harga kompetitif dan projek itu secara konvensional berdaya maju, maka import tambahan boleh dipertimbangkan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai syarat diletakkan kerajaan AS supaya Malaysia mengimport tambahan LNG berjumlah AS$3.4 bilion setiap tahun iaitu dua kali ganda jumlah pembelian dibuat Petronas sebelum ini.
Anwar berkata, perjanjian persefahaman berkaitan import itu turut mengambil kira faktor imbangan perdagangan dengan AS dan negara lain.
Sekiranya imbangan memihak kepada salah satu pihak, jelasnya, pertimbangan import akan dibuat untuk memastikan keseimbangan.
“Kita hanya mengimport apa yang diperlukan, dengan terma komersial yang tidak membebankan Petronas atau negara,” katanya.
































