SURREY: Sebanyak 18 individu ditahan dalam satu operasi khas polis bagi membanteras gangguan terhadap wanita ketika bersenam di kawasan awam.
Menurut Utusan Malaysia, dalam operasi rintis selama sebulan yang dijalankan Polis Surrey itu, beberapa anggota polis wanita berpakaian sukan ditempatkan di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘titik panas’ gangguan seksual.
Mereka bersenam pada waktu puncak sebelum disokong unit khas berhampiran yang bersedia untuk membuat tangkapan.
Menurut Ketua Inisiatif Keselamatan Wanita dan Gadis Polis Surrey, Inspektor Jon Vale, kajian mendapati hampir separuh wanita yang menjadi mangsa gangguan ketika bersenam tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Gangguan seperti menjerit dan membunyikan hon kenderaan berlaku terlalu kerap. Walaupun tidak semua perbuatan ini dianggap jenayah, ia boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan seharian dan menjadi pencetus kepada kesalahan seksual yang lebih serius,” katanya.
Vale mendedahkan, seorang pegawai yang menyamar menerima gangguan hanya 10 minit selepas memulakan larian, termasuk sebuah kenderaan memperlahankan kelajuan sambil membuat isyarat lucah.
Beliau menegaskan pihaknya akan mengambil pendekatan mendidik pesalah kali pertama, namun bagi kes berulang atau lebih serius, tindakan tegas akan diambil termasuk pendakwaan.
Sementara itu, anggota polis yang turut menyamar, Abby Hayward berkata, pengalaman beliau membuktikan gangguan terhadap wanita ketika bersenam adalah realiti harian.
“Tindakan seperti ini sama ada petanda kepada perbuatan lebih serius atau sekadar kejahilan yang boleh diperbetulkan. Kami mahu menghentikan potensi jenayah sebelum ia berlaku,” jelasnya.
Operasi tersebut dibangunkan hasil kejayaan inisiatif sebelum ini yang menempatkan anggota polis berpakaian biasa di kelab malam dan kawasan tumpuan orang ramai pada waktu malam bagi mengesan tingkah laku pemangsa seksual.
































