SEREMBAN: Hasil siasatan polis mendapati lelaki yang maut ditikam di hadapan rumahnya di Taman Sri Pagi, Senawang di sini, Isnin lalu mengenali isteri suspek dan mereka dikatakan mempunyai hubungan sulit.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, suspek yang berang dipercayai bertindak demikian selepas mengetahui isterinya curang dengan mangsa.
“Hasil siasatan mendapati motif kejadian adalah kerana mangsa yang berusia 28 tahun itu dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada suspek.
“Kami difahamkan, isteri suspek sudah berkenalan dengan mangsa sejak sebulan lalu melalui laman sosial. Bagaimanapun, pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing negatif dadah.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut ditikam dalam kejadian bunuh di pekarangan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi, Senawang di sini dipercayai berpunca datipada perselisihan faham.
Pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 6.50 petang yang mana mangsa berusia 28 tahun telah ditikam oleh seorang suspek lelaki berusia 31 tahun.
Suspek telah direman sehingga 18 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
































