PETALING JAYA: Kecewa dan tertekan dengan layanan diterima semasa belajar dan tinggal di negara ini dipercayai punca seorang wanita yang disyaki memandu secara berbahaya sebelum menyerang orang awam dengan pisau di Kajang, dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada 11.58 pagi itu, enam individu cedera diserang wanita berusia 24 tahun berkenaan secara tiba-tiba.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati motif wanita berusia 24 tahun itu akibat kecewa dengan layanan diterima semasa belajar dan kehidupan di Malaysia sehingga menyebabkan rasa tertekan.
Katanya, suspek yang juga pelajar sebuah universiti awam itu dilihat dalam keadaan tertekan dengan isu dan permasalahan dialaminya.
“Bagaimanapun, suspek tidak menyatakan apa jenis layanan dan kita masih dalam siasatan lanjut bagi mendapatkan punca sebenar.
“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 20 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini, seramai 11 orang saksi telah diambil keterangan termasuk mangsa.
Jelasnya, tiada rekod menunjukkan suspek mengalami kemurungan atau mengambil sebarang ubat.
“Siasatan masih dijalankan. Dua mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih ditahan wad,” katanya.
Media semalam melaporkan polis menahan wanita warga asing yang disyaki memandu secara berbahaya sehingga melanggar tiga penunggang motosikal sebelum menyerang orang awam dengan pisau, berhampiran sebuah pusat beli-belah dekat sini.
Naazron dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan tindakan agresif suspek di kawasan lampu isyarat persimpangan jalan berhampiran pusat beli-belah.
Menurutnya, selepas melanggar penunggang motosikal, suspek keluar daripada kenderaan dan menyerang orang awam yang berada berhampiran dengan bersenjatakan pisau di tangannya.
“Hasil bantuan daripada orang awam, wanita bukan warganegara itu berjaya ditahan bersama dua bilah pisau sebelum dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Terdapat enam mangsa warga tempatan berusia antara 21 hingga 60 tahun mengalami kecederaan akibat serangan itu yang mana dua mangsa ditahan wad bagi pemeriksaan lanjut, manakala empat lain dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Siasatan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
































