Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan satu pasukan khas dari Bukit Aman dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Unit Komunikasi Korporat PDRM berkata, pasukan khas tersebut membabitkan sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Penghantaran pasukan khas ini adalah sebahagian daripada komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Media semalam melaporkan proses bedah siasat jasad Zara selesai selepas kira-kira lapan jam prosedur itu dijalankan.
Zara Qairina iaitu pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pasa 3 pagi, 16 Julai lalu.
Pada 1 Ogos lalu, Ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, demi mendapatkan jawapan dan keadilan manakala peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.
Pejabat Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan semalam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu