PETALING JAYA: Dua individu masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah gagal memberikan keterangan munasabah berhubung wang yang berada dalam akaun bank mereka, tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ling Weng Hong, 22, dan Siti Farhah Johar, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Weng Hong yang bekerja sebagai pembantu dapur didakwa gagal memberikan keterangan munasabah mengenai wang RM23,600 kepunyaan seorang wanita berusia 47 tahun yang berada di akaun Hong Leong Bank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Seroja, Kampung Kayu Ara di sini pada 28 Oktober 2024.
Siti Farhah pula didakwa gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung cara memperoleh wang RM7,000 kepunyaan seorang lelaki berusia 23 tahun di akaun Maybank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Kelana Jaya pada jam 1.38 dan 1.41 petang, 10 September 2024.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd. Rozi memohon hukuman setimpal dikenakan kepada kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Nur Aiman Toharudin yang mewakili Siti Farhah merayu hukuman minimum dengan alasan anak guamnya telah insaf atas kesalahan dilakukan.
Sementara itu, peguam bela, Jasmine Faith yang mewakili Weng Hong berkata, tertuduh yang merupakan anak tunggal memohon maaf dan berjanji akan lebih berhati-hati sebelum menyerahkan sebarang dokumen penting kepada pihak lain.
“Anak guam saya telah diperdaya rakannya yang menjanjikan komisen sehingga RM2,000 sekiranya menyerahkan akaun bank.
“Selepas akaun dibuka, individu terbabit melarikan diri dan Weng Hong tidak menerima sebarang bayaran,” katanya.