ISTANBUL: Gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter melanda wilayah Balikesir di barat laut Turkiye pada Ahad, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa, 29 cedera dan menyebabkan lebih sedozen bangunan runtuh.
Menurut Utusan Malaysia, gempa yang berpusat di bandar Sindirgi itu turut dirasai sejauh 200 kilometer ke utara di Istanbul, sebuah bandar yang dihuni lebih 16 juta penduduk.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, seorang wanita warga emas meninggal dunia tidak lama selepas dikeluarkan dari runtuhan sebuah bangunan di Sindirgi. Empat mangsa lain turut diselamatkan dari bangunan yang sama.
Yerlikaya berkata sebanyak 16 bangunan runtuh, kebanyakannya usang dan tidak berpenghuni, manakala dua menara masjid turut tumbang.
Bagaimanapun, kesemua mangsa yang cedera dilaporkan tidak berada dalam keadaan serius.
Rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat meminta orang ramai berdiam diri bagi mendengar tanda-tanda mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) memaklumkan gempa utama disusuli beberapa gempa susulan, termasuk satu bermagnitud 4.6, dan menasihatkan orang ramai agar tidak memasuki bangunan yang rosak.
Presiden Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan kenyataan mendoakan kesembuhan segera kepada semua yang terjejas.
“Semoga Allah lindungi negara kita daripada segala bencana,” tulisnya di platform X.
Turkiye terletak di atas garisan sesar utama dan sering dilanda gempa bumi. Pada tahun 2023, gempa bumi dahsyat bermagnitud 7.8 membunuh lebih 53,000 orang di Turkiye dan memusnahkan ratusan ribu bangunan di 11 wilayah selatan dan tenggara negara itu.
Di Syria, lebih 6,000 nyawa turut terkorban akibat gempa tersebut.






























