Teo Nie Ching melawat ruang reruai pada Majlis Pelancaran GDPM Fest 2025 Peringkat Negeri Johor di Johor Bahru, Johor hari ini.
JOHOR BAHRU: Sebanyak 2,033 iklan di media sosial berkaitan produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan telah diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari awal tahun ini sehingga 1 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, tindakan itu diambil susulan 2,283 aduan yang diterima pihaknya daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi kerajaan yang lain.
“Pada 2023, pihak MCMC menerima sebanyak 439 aduan dan telah menurunkan sebanyak 390 iklan dan perkhidmatan tidak dibenarkan secara dalam talian.
“Sementara itu, pada tahun lalu, jumlah aduan yang diterima meningkatkan kepada 3,312 aduan, dan sebanyak 1,643 iklan telah diturunkan,” katanya selepas Majlis Pelancaran GDPM Fest 2025 Peringkat Negeri Johor hari ini.
Nie Ching berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan KKM berhubung iklan ubatan atau perkhidmatan kesihatan palsu setelah kementerian terbabit mempunyai kepakaran dalam perkara itu.
“Apabila mendapat aduan daripada KKM, kami akan memaklumkan kepada penyedia platform media sosial untuk menurunkan sekiranya iklan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta kepada MCMC untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terutamanya dalam sektor kesihatan.
Katanya, peruntukan yang disalurkan melalui syarikat telekomunikasi ini adalah komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan inisiatif digitalisasi yang menjadi teras dalam RMK-13.
Beliau berkata, kerjasama strategik dengan KKM ini bagi mempertingkat penggunaan teknologi baharu yang boleh membantu dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan terutama dalam bidang kesihatan kepada semua rakyat, khususnya di luar bandar dan pedalaman.
Katanya, penggunaan teknologi ini dijangka dapat memperkasa daya saing PMKS serta merangsang pertumbuhan ekonomi digital negara seiring dengan peningkatan liputan di kawasan berpenduduk sebanyak 98.8 peratus untuk liputan 4G dan 82.4 peratus untuk 5G.
“Oleh itu, Geran Digital PMKS Madani (GDPM) yang diperkenalkan sejak 2023 membantu pihak PMKS mempertingkatkan penggunaan teknologi baharu masa hadapan bagi membolehkan mereka bergerak ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.


































