Tun Musa memalu gong sebagai simbolik perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama sambil disaksikan Hajiji yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama serta tetamu lain.
TUARAN: Kerajaan Negeri sentiasa menyokong mana-mana NGO yang menganjurkan aktiviti bagi memelihara warisan budaya pelbagai etnik di Sabah, selagi ia tidak bertindih dengan program yang dianjurkan oleh kerajaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, penganjuran program seni dan budaya seperti Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama mampu mengangkat khazanah budaya negeri ke tahap lebih tinggi sekali gus memperkukuh imej Sabah di pentas dunia.
Program sebegini turut mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama, katanya pada perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Lok Batik di sini, hari ini.
Festival tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman yang turut ditemani isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Tun Musa diiringi Hajiji disambut oleh para pemimpin masyarakat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Lok Batik, hari ini.
Hajiji berkata, selaras dengan tema festival ‘Budaya Tradisi Teras Perpaduan Malaysia Madani’, menjadi tanggungjawab Persatuan Rumpun Bajausama untuk menjunjung agenda perpaduan sebagai perjuangan utama.
“Ini kerana matlamat mengangkat warisan budaya kita adalah bagi mewujudkan keharmonian dan memelihara perpaduan.
“Sejak turun-temurun dan berabad lamanya, rakyat negeri ini telah mengamalkan cara hidup berteraskan sikap saling menghormati, bekerjasama dan saling membantu tanpa mengira warna kulit atau pegangan agama,” katanya.
Hajiji berkata, semangat kebersamaan dan toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat telah membentuk masyarakat Sabah yang memiliki identiti unik dan memikat.
“Dengan 35 kumpulan etnik dan 217 sub-etnik dalam masyarakat Sabah, kita memang sebuah komuniti yang majmuk dan benar-benar plural dalam konteks Malaysia.
“Namun, rakyat Sabah terus hidup harmoni dengan semangat perpaduan yang utuh, selaras dengan slogan ‘Unity in Diversity’,” katanya.
Ketua Menteri berkata, banyak faedah dan hikmah dapat diperoleh daripada kehidupan yang aman dan bersatu padu, sama ada dalam keluarga, organisasi, persatuan, komuniti mahupun negara.
“Hanya melalui perpaduan kita akan menjadi kuat, dihormati dan dikagumi. Jika berpecah-belah, kita akan menjadi lemah dan mudah dikuasai oleh pihak yang mahu mengawal atau menjajah kita. Sesungguhnya, perpaduan dan kekuatan adalah kunci kejayaan serta kemajuan kita,” katanya.
Dalam konteks Persatuan Rumpun Bajausama, beliau berkata, ia juga bercita-cita menjadi seperti persatuan budaya atau etnik lain yang berperanan sebagai pemegang amanah dan pemelihara adat tradisional, sekali gus menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Jika gerakan murni ini dapat diperkukuh dan diperkasakan lagi, insya-Allah, kita bukan sahaja dapat membangunkan Sabah dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga sebagai negeri yang kaya dengan nilai budaya dan tradisi masyarakatnya,” katanya.
Hajiji yakin, melalui festival seperti ini, dengan pelbagai acara yang disusun rapi termasuk pertandingan tarian tradisional seperti Limbai dan Runsai, pertandingan nyanyian Bintang Soromas, serta pertandingan Betitik, bakat baharu dalam setiap bidang dapat dicungkil di samping memelihara warisan budaya.
Sementara itu, acara kemuncak seperti pertandingan Ratu Serimpak bukan sahaja menjadi tarikan utama festival, malah menonjolkan mutu seni tenunan dan motif etnik Bajau yang dipamerkan pada busana para peserta.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Tun Musa atas sokongan beliau terhadap penubuhan Persatuan Rumpun Bajausama 12 tahun lalu dan dalam pembangunan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama di Lok Batik yang bermula pada tahun 2017 ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah.






























