Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi Dr. Dzulkefly Ahmad, merasmikan Karnival Sihat Milik Semua 2025 Sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan 2020, Kangar, Perlis, hari ini.
KANGAR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan rasmi pengambilan jururawat dari Indonesia untuk berkhidmat di hospital kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menyedari perkara itu dibangkitkan akhir-akhir ini, namun sehingga kini tidak ada sebarang perbincangan atau permohonan rasmi dibuat berhubung cadangan tersebut.
Banyak pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan persatuan-persatuan jururawat sebut pelbagai perkara, tapi hakikatnya, KKM tidak ada perbincangan dan tidak ada permohonan rasmi diterima (mengenai perkara ini),” katanya ditemui pada Karnival Sihat Milik Semua 2025 sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan 2020 di sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dr. Dzulkefly mengulas bantahan disuarakan CUEPACS berhubung cadangan mengambil jururawat dari Indonesia berkhidmat di hospital kerajaan.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat dilaporkan berkata, cadangan tersebut tidak wajar dilaksanakan memandangkan masih ramai graduan jururawat tempatan yang belum menerima pelantikan tetap atau kontrak.
Sebelum itu, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru mencadangkan satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini, sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto, berkata, langkah itu adalah situasi ‘menang-menang’ memandangkan ketika ini kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.
Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, KKM sedang meneliti supaya jururawat masyarakat lulusan program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) mendapat penempatan dan tidak keluar dari lokaliti asal mereka.
Katanya, dianggarkan lebih 1,800 jururawat masyarakat lulusan PSL dan KKM dalam proses menyelesaikan secepat mungkin isu penempatan tersebut.
“Penempatan jururawat ini dijangka dapat membantu mengisi kekosongan sedia ada,” katanya.
































