Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kadar defisit negara berjaya diturunkan secara konsisten selama tiga tahun berturut-turut.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar defisit dicatatkan 6.4 peratus pada 2021, 5.5 peratus (2022), lima peratus (2023) dan 4.1 peratus (2024).
Jelasnya, pengurangan kadar defisit juga bermakna, kerajaan berjaya menurunkan komitmen hutang baharu iaitu daripada sekitar RM100 bilion (2021) kepada RM99 bilion (2022), lebih RM92.6 bilion (2023) dan RM76.8 bilion (2024).
“Dengan komitmen kerajaan mengurangkan defisit fiskal dan hutang baharu tahunan, ini membantu kita mengurangkan pertumbuhan jumlah hutang negara supaya lebih mampan.
“Pengurusan hutang negara berkait rapat dengan usaha mengurangkan defisit fiskal secara berfasa, selaras dengan prinsip ekonomi makro.
“Dalam kerangka ekonomi makro, defisit dan hutang negara saling berkait. Jika defisit masih tinggi, maka hutang akan terus bertambah. Sebab itu, strategi kerajaan adalah menurunkan defisit secara berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai pengurusan hutang negara dilakukan dengan bertanggungjawab kerana berlaku kenaikan daripada RM1,079.1 bilion pada 2022 kepada RM1,247.6 bilion pada hujung tahun 2024 yang hampir mencecah 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mengambil pendekatan bertanggungjawab iaitu walaupun mengurangkan hutang baharu, ia tidak dilakukan secara mendadak bagi memastikan kelangsungan pembangunan ekonomi dan rakyat.
“Kerajaan tidak menanggung hutang untuk perbelanjaan pengurusan, namun sebahagian besar perbelanjaan pembangunan dibiayai melalui hutang.
“Peruntukan mencukupi untuk pembangunan penting bagi membiayai keperluan infrastruktur dan kemudahan awam untuk manfaat rakyat.
“Pendekatan pengurangan defisit tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana boleh menjejaskan perbelanjaan penting kerajaan termasuk dalam sektor pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.
Dalam mengawal hutang negara, Anwar berkata, kerajaan tertakluk kepada had hutang berdasarkan perundangan.
Setakat akhir Jun lalu, katanya, kerajaan kekal patuh kepada had statutori hutang yang dibenarkan.
“Pertama, hutang Statutori Kerajaan adalah pada 62.7 peratus kepada KDNK iaitu tidak melebihi had 65 peratus ditetapkan. Hutang Statutori merangkumi Instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam
Malaysia (MITB).
“Kedua, pinjaman luar pesisir pada masa ini berjumlah RM22.8 bilion iaitu tidak melebihi paras RM35 bilion ditetapkan di bawah Akta Pinjaman Luar Negeri 1963.
“Ketiga, Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) juga berjumlah RM2 bilion, tidak melebihi paras RM10 bilion ditetapkan di bawah Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946,” katanya.






























