Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Bedah siasat wajib dilaksanakan sekiranya wujud unsur mencurigakan dalam sesuatu kes kematian, khususnya melibatkan kematian mengejut, kes bunuh diri atau kematian individu bawah umur.
Menurut Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Kamal Affendy Hashim berkata, pelaksanaan bedah siasat atau post-mortem merupakan keperluan penting bagi menentukan punca sebenar kematian seseorang, terutamanya apabila ia berkait rapat dengan siasatan kes jenayah.
Beliau berkata, Seksyen 329 dan 330 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk mengarahkan bedah siasat dilakukan sekiranya kematian berlaku dalam keadaan mencurigakan.
Jelasnya, dalam konteks tersebut, pihak keluarga tidak mempunyai kuasa untuk menolak arahan dari pihak berkuasa.
“Bedah siasat bukan sekadar prosedur bagi mengenal pasti sebab kematian, sebaliknya ia menjadi faktor penting dalam membantu siasatan pihak polis untuk mengetahui bagaimana si mati menemui ajalnya, sama ada akibat perbuatan jenayah atau kecuaian yang menyalahi undang-undang.
“Seksyen 328 KPJ turut memperuntukkan bahawa sebab kematian tidak hanya terhad kepada punca yang nyata, tetapi merangkumi semua aspek yang boleh membentuk suatu pendapat yang sah dari sudut undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kes kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar sebuah sekolah agama di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.
Kamal berkata, pegawai penyiasat yang memikul tanggungjawab menyiasat kes kematian perlu memastikan siasatan dijalankan menyeluruh, terutamanya dalam kes melibatkan kematian yang berlaku dalam keadaan mencurigakan, kematian mengejut, mayat dijumpai tanpa sebab kematian diketahui atau kes bunuh diri.
Katanya, kematian yang berlaku semasa menerima rawatan di hospital seperti Death in Ward (DWI) dan mayat yang dihantar ke hospital dalam keadaan sudah tidak bernyawa atau Brought in Dead (BID) juga memerlukan perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Kamal berkata, Seksyen 330 KPJ memperuntukkan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk memerintahkan pengebumian segera tanpa bedah siasat sekiranya mereka berpuas hati bahawa kematian berlaku akibat kemalangan atau sebab semula jadi yang jelas.
Namun begitu, beliau berkata, setiap keputusan sama ada untuk menjalankan bedah siasat atau tidak mesti dibuat berasaskan alasan yang kukuh dan disokong dengan penilaian mediko-legal yang tepat khususnya dalam kes yang menimbulkan tanda tanya kepada waris atau masyarakat.
“Hasil keputusan bedah siasat mestilah berpaksikan kepada bukti yang konkrit. Jika dalam proses membuat keputusan terdapat sebarang anomali atau keganjilan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan intervensi segera dan merangka pelan pemulihan untuk memperbetulkan kelemahan tersebut.
“Saya amat bersimpati dengan keluarga yang kehilangan insan tersayang, namun dari sudut siasatan, jika berlaku kecuaian atau kegagalan dalam melaksanakan prosedur yang betul, perkara itu mesti ditangani dengan segera,” katanya.






























