Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung tarif AS – Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Perolehan pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bukan keputusan tergesa-gesa mahupun susulan tekanan tarif, sebaliknya sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan kapasiti syarikat secara berfasa dan jangka panjang.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembelian itu adalah keperluan operasi bagi menggantikan pesawat Boeing 737-800 yang sudah berkhidmat secara purata selama 14 tahun, bagi menjamin aspek keselamatan dan kemampanan syarikat penerbangan nasional itu.
“Sejak 2016, MAG telah membuat tempahan awal bagi 25 pesawat Boeing 737-8 MAX, dan setakat November 2023, sebanyak 13 pesawat telah diterima, dengan baki akan dihantar secara berperingkat hingga 2027.
“Pada 20 Mac 2025, sebelum tarif timbal balas diumumkan, tempahan tambahan sebanyak 30 pesawat Boeing 737 MAX telah dimuktamadkan, dengan penghantaran dijangka bermula 2025 hingga 2035,” katanya semasa sesi penerangan berhubung rundingan perdagangan timbal balas Malaysia–Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat, kelmarin.
Tengku Zafrul berkata, 30 lagi pesawat berada dalam kategori ‘perancangan’, tertakluk kepada strategi pertumbuhan MAG.
Katanya, nilai keseluruhan perolehan ini turut merangkumi kos enjin, latihan, penyelenggaraan dan sokongan jangka panjang bukan melibatkan harga pesawat semata-mata.
“Pembelian Boeing itu adalah sebahagian komitmen perdagangan dua hala di bawah Seksyen 6 perjanjian Malaysia–AS, dalam usaha mengimbangi jurang defisit dagangan yang kini memihak kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, komitmen yang dibuat antara Malaysia dan AS membabitkan perolehan kapal terbang Boeing oleh MAG bernilai AS$19 bilion, perolehan barangan oleh syarikat-syarikat multinasional (MNC) untuk sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data bernilai AS$150 bilion bagi tempoh lima tahun.
“Perolehan gas asli cecair (LNG) oleh Petronas bernilai AS$3.4 bilion setahun, perolehan produk telekomunikasi oleh Telekom Malaysia bernilai AS$119 juta, perolehan arang batu oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bernilai AS$42.6 juta setahun dan pelaburan rentas sempadan di AS AS$70 billion bagi tempoh 10 tahun,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, industri aeroangkasa negara turut mendapat manfaat daripada keputusan itu kerana Boeing telah lama menjadi rakan utama dalam industri ini, termasuk melalui syarikat Boeing Composites Malaysia (BCM) di Kedah, yang menyokong rantaian bekalan global Boeing dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, terutamanya di Kedah.
“Syarikat Malaysia seperti CTRM, UPECA, SME Aerospace, Plexus dan lain-lain adalah pembekal komponen penting kepada Boeing dan Airbus.
“Industri aeroangkasa Malaysia menyumbang RM25.1 bilion pada 2024 dan menyokong 30,000 pekerjaan di seluruh negara. Pada masa sama, sektor pelancongan negara menunjukkan pemulihan kukuh melebihi paras prapandemik,” katanya






























