CAMBRIDGE: bekas tapak tangan berusia kira-kira 4,000 tahun ditemukan pada sebuah model tanah liat berbentuk rumah yang digunakan sebagai tempat persembahan dalam sebuah kubur Mesir purba.
Menurut Utusan Malaysia, CNN melaporkan, penemuan mengejutkan ini dibuat oleh penyelidik dari Muzium Fitzwilliam, Universiti Cambridge, ketika mereka sedang membuat persiapan untuk satu pameran yang dijadualkan dibuka musim luruh ini.
Kesan tapak tangan itu ditemui pada bahagian bawah model yang dikenali sebagai ‘rumah roh’ iaitu struktur tanah liat berbentuk rumah yang biasanya diletakkan dalam pengebumian untuk memberikan ‘tempat tinggal’ kepada roh si mati, menurut kenyataan media muzium.
Model dua tingkat itu mempunyai ruang terbuka di bahagian hadapan yang digunakan untuk meletakkan makanan seperti roti, salad atau kepala lembu.
Berdasarkan analisis, artifak ini dianggarkan berasal dari zaman 2055 hingga 1650 Sebelum Masihi.
Kajian lanjut menunjukkan tukang tembikar yang tidak dikenali itu telah membina rangka rumah menggunakan kayu sebelum disalut dengan tanah liat.
Proses pembakaran kemudiannya membakar keseluruhan struktur kayu tersebut dari dalam.
Cap tangan itu dipercayai terhasil apabila tukang tersebut mengangkat model berkenaan semasa tanah liat masih basah, kemungkinan besar ketika memindahkannya keluar dari bengkel untuk dikeringkan sebelum dibakar dalam relau.
“Kami pernah menemui kesan cap jari pada pernis basah atau pada hiasan keranda, tetapi jarang sekali menjumpai cap tangan penuh seperti ini.
“Ini adalah sentuhan terakhir daripada si pembuat sebelum tanah liat itu kering. Saya tidak pernah melihat cap tangan sejelas ini pada mana-mana objek Mesir sebelum ini. Kita seolah-olah dapat ‘melihat’ kembali tukang itu, ketika dia sedang mengalihkan objek ini keluar dari bengkel,” kata pakar Mesir Purba kanan di muzium itu merangkap kurator pameran berkenaan, Helen Strudwick.
Strudwick menambah, penemuan seperti ini memberi peluang luar biasa untuk menyambung hubungan terus antara artifak dan pembuatnya yang menjadi fokus utama pameran akan datang.


































