Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat Papa) Jumaat ini bagi memastikan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, operasi bersepadu itu akan memberi penekanan khusus terhadap kawalan ketat penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negara.
Menurut beliau, KKM turut memperkenalkan inisiatif Ops Selamat Mama bagi melindungi pasangan atau isteri daripada menjadi mangsa asap toksik akibat tabiat merokok secara pasif.
“KKM amat mengalu-alukan langkah enam kerajaan negeri yang tidak memperbaharui lesen penjualan vape di premis masing-masing.
“Ini merupakan langkah positif, namun masih belum mencukupi untuk membanteras sepenuhnya penjualan vape kerana produk itu masih boleh diperoleh secara terbuka di kedai runcit dan serbaneka,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.
Sebelum itu, Dr. Dzulkefly berkata, kawal selia penjualan vape kini tertakluk di bawah Akta 852 yang dikuatkuasakan oleh KKM.
Katanya, segala usaha atau cadangan untuk mengharamkan vape merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan berdasarkan syor Jawatankuasa Pakar Rokok Elektronik, Akta 852 bersifat kawal selia dan bukan pengharaman mutlak.
“Namun, KKM menyokong penuh cadangan untuk mengharamkan penjualan vape secara terbuka memandangkan ia sering disalah guna dengan campuran bahan terlarang,” jelasnya.
Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH–Bentong) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Menurut Dr. Dzulkefly, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini menunjukkan daripada 64 kertas siasatan yang dibuka, 80 peratus daripadanya melibatkan kes vape yang dicampur dengan dadah terlarang.
“Bagi tempoh sehingga Jun lalu, sebanyak 58 kertas siasatan telah dibuka dan hampir 70 peratus menunjukkan kandungan bahan terlarang dalam vape,” katanya.
Tambah beliau, KKM berhasrat untuk bergerak ke arah pengharaman penuh terhadap vape, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara menyeluruh dan berhati-hati.
“Kami tidak mahu tindakan hanya terhad kepada penarikan lesen seperti yang dilakukan oleh enam kerajaan negeri, sedangkan vape masih berleluasa di pasaran,” katanya.

































