Steven Sim Chee Keong (dua dari kanan) ketika merasmikan ‘The 52nd ARTDO International Conference’, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
GEORGE TOWN: Teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak wajar dilihat sebagai ancaman kepada pekerjaan manusia, sebaliknya, ia berpotensi membuka ruang kepada penciptaan peranan dan kerjaya baharu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, anggapan bahawa AI akan mengambil alih semua pekerjaan manusia adalah tidak tepat kerana teknologi itu masih memerlukan peranan manusia untuk mengendalikan, menyemak serta membentuk struktur maklum balasnya.
“Kalau ada AI, bukan bermaksud kita tidak perlukan programmer. AI masih perlukan input manusia dan masih perlukan seseorang untuk menyemak hasilnya.
“Contohnya, pekerjaan seperti jurutera ‘AI prompt’ kini mula mendapat permintaan tinggi. Namun, AI tetap memerlukan manusia untuk memberi input dan menyemak output. Jadi, peranan manusia masih penting,” katanya selepas merasmikan ‘The 52nd ARTDO International Conference’ di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, ketika ini, Kementerian Sumber Manusia telah menyiapkan satu laporan strategik mengenai impak AI, digitalisasi dan perubahan ekonomi terhadap pasaran kerja Malaysia dengan penglibatan langsung pemain industri dalam 10 sektor utama.
“Sebanyak 60 peratus daripada input laporan ini datang daripada industri sendiri. Jadi, kita tidak buat tekaan. Dengan data ini juga, kerajaan khususnya kementerian boleh merangka strategi latihan kemahiran berkaitan AI yang tepat,” katanya.
Jelas beliau, antara dapatan utama laporan itu menunjukkan beberapa pekerjaan sedia ada berisiko terjejas akibat pengaruh AI dan teknologi baharu.
“Oleh itu, langkah seperti latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) boleh membantu pekerja kekal relevan, malah, beralih kepada pekerjaan baharu yang muncul hasil daripada perkembangan teknologi,” katanya.
Ujar beliau, pada masa ini, Kementerian Sumber Manusia sedang menguruskan 33 buah Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain bekerjasama dengan institusi latihan lain termasuk swasta.

































