MANILA: Sekolah dan pejabat kerajaan di ibu negara serta 34 wilayah di Filipina ditutup hari ini, selepas Taufan Co-May semakin kuat dengan kelajuan sehingga 120 kilometer sejam (km/j) dan tiupan angin mencecah 150 km/j.
Menurut Utusan Malaysia, taufan itu, yang meningkat daripada ribut semalam, dijangka bergerak ke arah utara Luzon, menurut Jabatan Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina.
Hampir 70 penerbangan dibatalkan akibat gabungan kesan taufan dan monsun barat daya yang masih membawa hujan lebat di seluruh negara, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina.
Presiden Ferdinand Marcos Jr. menyeru rakyat menumpukan kepada persediaan menghadapi bencana dan perancangan jangka panjang, selain memberi amaran ribut seumpama itu akan berulang.
Negara itu masih dalam fasa pemulihan akibat beberapa bencana sebelum ini, termasuk Ribut Tropika Wipha yang meragut 12 nyawa, menyebabkan lebih 2.7 juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan lapan dilaporkan masih hilang.
Kerugian terhadap sektor pertanian dan infrastruktur akibat cuaca buruk mencecah AS$73 juta (RM308 juta), menurut Agensi Bencana Kebangsaan, dengan amaran banjir masih dikeluarkan di kawasan terjejas.
Walaupun ribut Wipha meninggalkan Filipina pada Sabtu, hujan monsun masih berterusan dan semakin teruk akibat pengaruh ribut tropika Fransisco dan Co-May.
Biro kaji cuaca Filipina memberi amaran Co-May boleh bertukar menjadi taufan sebelum melanda wilayah Ilocos, manakala Fransisco dijangka melepasi negara itu pada Khamis.
Hujan lebat dijangka menyebabkan banjir, tanah runtuh dan risiko lain, dengan amaran banjir dikeluarkan untuk Metro Manila serta kawasan berhampiran.
Co-May merupakan taufan kelima yang melanda Filipina tahun ini, sebahagian daripada corak tahunan negara itu yang biasanya dilanda kira-kira 20 taufan.




























