KENANGAN… Fahmi (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama semua penerima APC.
PENAMPANG: Dalam usaha mempercepat transformasi digital dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, semua agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi digesa untuk meneroka serta memanfaatkan potensi Generatif AI secara aktif dalam operasi harian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menekankan bahawa kerajaan perlu mendepani perubahan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat berkembang.
“Sekarang saya lihat antara cabaran kita sebagai kerajaan memang mendepani perubahan teknologi yang sedang bergelora iaitu AI.
“Saya minta supaya Kementerian Komunikasi melalui Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) mewujudkan modul-modul rakyat supaya semua pihak yang mungkin perlu berinteraksi dengan generatif AI menghasilkan grafik, gambar, video dan sebagainya senang faham, senang tahu dan mudah untuk diaplikasikan.
“Jadi, untuk organisasi saya minta Jabatan Penerangan, J-KOM perlu berjinak-jinak dan memanfaatkan generatif AI sementara untuk organisasi yang lain kita perlu lihat bagaimana kita boleh gunakan AI sekiranya belum dalam pelaksanaan tugas-tugas harian,” katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 Kementerian Komunikasi Zon Sabah, di sini pada Khamis.
Beliau turut menjelaskan bahawa selain membangunkan kandungan kreatif, AI harus memainkan peranan strategik dalam menyelaraskan proses organisasi serta meningkatkan efisiensi pengurusan data.
“Tapi lebih penting dari itu sebagai sebuah organisasi kita perlu lihat bagaimana AI boleh membantu menyelaras beberapa perkara, meningkatkan efisiensi dalam optimisasi, terutama untuk menguruskan perkara-perkara berkaitan data,” katanya.
Tambah Fahmi, organisasi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) juga disarankan menggunakan AI untuk mengesan aduan atau persepsi umum tanpa menunggu maklum balas manual, sekali gus mempercepat tindak balas terhadap isu rakyat.
“Kalau di pihak MCMC, harapan saya ialah kita jangan tunggu sehingga orang mengadu tapi gunakan AI dan cari aduan itu jangan buat manual, arahkan mesin untuk pergi cari apakah masalah-masalah yang berlaku,” jelasnya.
Sementara itu,dalam majlis yang sama beliau turut menyeru agar penerima APC menjadi contoh dan ikutan kepada rakan -rakan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Saya merasakan bahawa para penerima APC merupakan yang terbaik dari kalangan yang terbaik untuk pasukan di Sabah. Harapan saya, semua menjadi contoh, menjadi ikutan kepada kawan-kawan yang lain.
“Kita mesti faham usaha kita adalah ke arah Malaysia yang lebih baik melalui organisasi yang kita jaga dengan lebih baik dan untuk perkhidmatan yang penuh,” katanya.
Pada majlis tersebut seramai 70 individu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang mana 41 daripadanya terdiri daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), 24 penerima adalah daripada Jabatan Penerangan Malaysia manakala tiga lagi penerima daripada J-KOM.
Turut diraikan seorang penerima dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan seorang lagi dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Setiausaha Bahagian Kanan Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti Datuk Ismail Yusop serta Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.




























