Mark Carney dan Donald Trump
ONTARIO: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menegaskan negaranya tidak akan menandatangani perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) jika ia tidak memberi manfaat kepada rakyat, walaupun menghadapi tekanan masa dan ancaman tarif baharu daripada Presiden Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan itu dibuat tempoh rundingan hanya tinggal kurang seminggu sebelum tarikh akhir untuk mencapai perjanjian atau berdepan tarif import baharu sebanyak 35 peratus ke atas barangan eksport Kanada bermula 1 Ogos.
“Kami hanya akan bersetuju jika perjanjian tersebut benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat Kanada,” katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat tergempar bersama kesemua 10 wilayah dan 3 wilayah jajahan Kanada.
“Kami tidak akan menerima perjanjian walau apa jua cara,” tambahnya dalam kenyataan berasingan dalam bahasa Perancis.
Carney turut mengesahkan Menteri Kabinet, Dominic LeBlanc, yang menjadi penghubung utama kerajaan dengan pentadbiran Trump, akan berada di Washington sepanjang minggu ini untuk meneruskan rundingan.
“Ini adalah rundingan yang rumit, dan kami akan gunakan sepenuhnya masa yang ada,” katanya ketika meninggalkan lokasi persidangan.
Sebelum ini, Carney pernah menyatakan keyakinan satu perjanjian boleh dicapai untuk memansuhkan tarif yang dikenakan AS sejak 2025 termasuk duti 50 peratus ke atas keluli dan aluminium serta 25 peratus ke atas nilai kenderaan kecuali komponen buatan AS.
Namun, ancaman tarif terbaharu Trump menjejaskan harapan tersebut dan mengubah jadual rundingan yang asalnya ditetapkan berakhir pada 21 Julai.
Ketua Menteri wilayah Ontario, Doug Ford enggan mendedahkan secara terperinci butiran perbincangan bersama Carney dengan alasan ia boleh menjejaskan rundingan.
“Donald Trump sangat sukar untuk dirunding kerana pendiriannya sentiasa berubah-ubah. Hari ini dia bercakap baik, esok dia muncul di media umum dan tiba-tiba mengumumkan tarif 35 peratus,” ujarnya.




























