WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan perjanjian perdagangan baharu dengan Filipina selepas bertemu rakan sejawatnya, Ferdinand Marcos di Rumah Putih semalam.
“Ia merupakan kunjungan yang indah dan kami memuktamadkan perjanjian perdagangan, di mana Filipina akan membuka pasaran kepada AS dan mengenakan tarif sifar.
“Filipina akan membayar tarif sebanyak 19 peratus,” tulis Trump di platform Truth Social.
Menurut Utusan Malaysia, sebelum ini, AS mengumumkan tarif sebanyak 20 peratus ke atas eksport dari Filipina, yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneruskan kerjasama ketenteraan, kata Trump.
Filipina, sekutu ketenteraan lama AS di rantau Asia-Pasifik, menempatkan tentera Amerika dan menyediakan akses kepada pangkalan tenteranya.
Kedua-dua negara mempunyai perjanjian pertahanan bersama sejak 1951.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, bagaimanapun menggesa agar kerjasama tersebut tidak menyasarkan atau membahayakan pihak ketiga, merujuk ketegangan di Laut China Selatan.
Kapal dari China dan Filipina beberapa kali berdepan ketegangan di kawasan perairan kaya mineral yang menjadi pertikaian tuntutan kedua-dua negara.