Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 46,086 kertas siasatan jenayah siber telah dibuka sepanjang tahun 2024 melibatkan pelbagai kesalahan di bawah beberapa akta termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Jenayah Komputer 1997.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah berkenaan merangkumi siasatan yang dijalankan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited membanteras pelbagai bentuk jenayah siber melalui pendekatan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan, pemantapan undang-undang, kempen kesedaran dan kerjasama antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH–Kampar) mengenai jumlah kes jenayah siber dilaporkan sepanjang 2024 dan usaha kerajaan meningkatkan tahap keselamatan digital rakyat.
Saifuddin berkata, jenayah siber diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu jenayah yang dibantu siber (cyber-enabled crime) dan jenayah bergantung siber (cyber-dependent crime).
“Jenayah dibantu siber merujuk kepada jenayah tradisional yang dipermudah menerusi teknologi seperti penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu dan kandungan lucah.
“Manakala jenayah bergantung siber pula hanya boleh berlaku melalui sistem digital seperti penggodaman (hacking), serangan perisian hasad (malware) dan pancingan data,” katanya.
Beliau berkata, bagi memperkukuh aspek perundangan, tahun lalu, kerajaan telah meminda Kanun Keseksaan dengan memperkenalkan Seksyen 424(a) dan 424(b) bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes penipuan.
“Ia juga melibatkan penggunaan akaun pihak ketiga seperti kad ATM, kad kredit dan aplikasi Touch ‘n Go e-Wallet.
“Melalui pindaan ini, kadar penalti dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) turut dipinda bagi memperluas kuasa penyitaan dan pembekuan akaun bank kepada pegawai berpangkat Sarjan berbanding hanya pegawai berpangkat Inspektor sebelum ini.
“Langkah ini penting untuk menyekat aliran wang haram serta mengekang proses layering dalam aktiviti pengubahan wang,” jelasnya.
Dalam usaha membina kesedaran awam, KDN melalui PDRM telah menggerakkan 10,630 kempen keselamatan siber sepanjang tahun lalu di seluruh negara termasuk Kementerian Digital turut bekerjasama melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Pemerkasaan Keselamatan Siber.
Saifuddin berkata, Malaysia kini dalam fasa akhir untuk menyertai Konvensyen Budapest mengenai jenayah siber yang dijadual ditandatangani pada Oktober ini di Vietnam.
“Selain itu, Malaysia juga akan menandatangani Konvensyen PBB berkaitan jenayah siber sebagai usaha memperkukuh kerjasama siasatan, pertukaran bukti digital dan ekstradisi penjenayah.
“Kita juga menjalin kerjasama strategik dengan agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) bagi perkongsian maklumat serta risikan,” katanya.