WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Washington bersetuju dengan perjanjian perdagangan besar-besaran bersama Jepun.
Menurut Utusan Malaysia, dalam hantaran di media sosial, Trump berkata, perjanjian itu bakal menyaksikan Jepun melabur sebanyak AS$550 bilion (RM2.3 trilion) ke dalam ekonomi AS serta membayar tarif timbal balik sebanyak 15 peratus.
Beliau turut mendakwa, Jepun akan membuka pasaran mereka kepada barangan AS, termasuk kereta, trak, beras dan produk pertanian tertentu.
“Saya baru sahaja menandatangani perjanjian perdagangan terbesar dalam sejarah, mungkin juga perjanjian terbesar pernah dicapai dengan Jepun.
“Mereka hantar orang terbaik mereka di sini, dan kami berusaha keras. Ia perjanjian hebat untuk semua. Saya selalu tekankan, ia mesti adil kepada semua,” katanya.
Bagaimanapun, Jepun masih belum mengesahkan perjanjian tersebut atau butiran yang diumumkan oleh Trump.
Presiden AS turut mengumumkan perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) akan diumumkan pada Rabu, disusuli beberapa lagi perjanjian tidak lama lagi.
Terdahulu, Trump menghantar surat kepada Jepun yang mengandungi ancaman untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas eksport negara itu ke AS jika tiada perjanjian baharu dicapai sebelum 1 Ogos.
Kadar tarif itu satu peratus lebih tinggi berbanding kadar 24 peratus yang diumumkannya semasa ‘Hari Pembebasan’ pada 2 April lalu.
Rancangan tarif yang diumumkan pada April lalu, melibatkan duti ke atas banyak rakan dagang AS di seluruh dunia, digantung selama 90 hari susulan kegawatan pasaran global.
Penangguhan itu memberi ruang kepada wakil perdagangan Tokyo untuk merundingkan perjanjian dengan rakan sejawat mereka di Washington.
Perjanjian yang dilaporkan tercapai itu berlaku ketika Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, berdepan tekanan untuk meletak jawatan selepas partinya, Parti Demokratik Liberal (LDP), kehilangan majoriti dalam Dewan Negara pada pilihan raya baru-baru ini.