WASHINGTON: Pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS) menyiasat satu insiden cemas apabila sebuah pesawat penumpang terpaksa mengubah haluan secara mendadak bagi mengelakkan perlanggaran di udara dengan pesawat pengebom B-52 milik Tentera Udara AS.
Menurut Utusan Malaysia, insiden berlaku pada Jumaat lalu apabila penerbangan Delta yang dikendalikan oleh SkyWest Airlines dari Minneapolis menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Minot, Dakota Utara.
Juruterbang pesawat komersial itu secara tiba-tiba mengubah arah selepas mengesan pesawat lain mendekati dari sebelah kanan.
“Saya rasa tindakan paling selamat ialah membelok ke belakangnya.
“Maaf atas manuver agresif ini. Ini memang sangat luar biasa,” kata juruterbang kepada penumpang dalam rakaman audio yang kemudian tersebar dalam media sosial. “
Menurut kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), insiden itu kini disiasat secara rasmi.
SkyWest turut memulakan siasatan dalaman dan menyatakan pesawat mereka telah mendapat kebenaran untuk mendarat, namun terpaksa melakukan pusingan semula apabila melihat sebuah lagi pesawat berada di laluan yang sama.
Tentera Udara AS mengesahkan sebuah pesawat pengebom B-52 sedang menjalankan lintas hormat yang dibenarkan sempena Pesta Negeri Dakota Utara pada malam kejadian.
Kru B-52 juga didakwa telah berkomunikasi dengan menara kawalan lapangan terbang Minot dan menerima arahan untuk terbang dua batu ke arah barat selepas lintas hormat.
Bagaimanapun, pihak menara tidak memaklumkan tentang kehadiran pesawat komersial yang sedang menghampiri, menurut kenyataan dari pihak tentera.
Juruterbang SkyWest turut memberitahu penumpang dia tidak dimaklumkan mengenai keberadaan pesawat B-52.
“Dia kata ‘belok kanan.’ Saya nampak ada pesawat di sana. Kemudian dia kata ‘belok kiri,’” katanya dalam rakaman video oleh seorang daripada penumpang.
Penumpang bernama Monica Green menyifatkan pengalaman itu sebagai menakutkan.
“Saya rasa mual. Pesawat membuat pusingan tajam, kemudian saya hanya nampak rumput dari tingkap tanpa sebarang garis horizon,” katanya kepada NBC News.
Insiden ini berlaku kurang enam bulan selepas tragedi perlanggaran helikopter Tentera Darat AS dengan pesawat American Airlines berhampiran Washington, yang meragut 67 nyawa.
Kejadian itu mencetuskan semakan semula oleh kerajaan persekutuan dan Kongres terhadap koordinasi antara pesawat tentera dan awam dalam ruang udara yang dikongsi.































