Adrienne Jones-McAllister bersama mendiang suaminya, Keith McAllister.
LONG ISLAND: Seorang wanita mendedahkan detik suaminya maut akibat ditarik ke dalam mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) dan menuduh juruteknik pengimejan sebagai punca tragedi itu.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Keith McAllister, 61, maut selepas mengalami kecederaan parah apabila rantai logam berat yang dipakainya tertarik kuat ke dalam mesin MRI di Nassau Open MRI, Westbury, Long Island pada Rabu lalu sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah..
Isterinya, Adrienne Jones-McAllister, yang baru selesai menjalani imbasan MRI lutut ketika kejadian meminta juruteknik untuk memanggil suaminya bagi membantunya turun dari meja imbasan.
Ketika McAllister memasuki bilik MRI dengan memakai rantai besi seberat hampir 9 kilogram yang menurut isterinya digunakan untuk latihan berat badan, mesin MRI tiba-tiba menariknya dengan kuat.
“Saya lihat dia melangkah ke arah saya dan tiba-tiba mesin itu menariknya. Dia terus terkulai dalam pelukan saya,” kata Adrienne kepada saluran News 12 Long Island.
Adrienne mendakwa juruteknik tersebut membenarkan suaminya masuk ke bilik imbasan walaupun jelas memakai rantai logam dan lebih mengejutkan, katanya ini bukan kali pertama rantai itu dilihat di fasiliti berkenaan.
“Mereka pernah bergurau tentang rantai itu. Juruteknik itu tahu suami saya selalu memakainya,” katanya.
Menurut kenyataan polis, McAllister masuk ke bilik MRI ketika sesi imbasan masih berlangsung menyebabkan tarikan magnetik kuat mesin tersebut menarik rantai di lehernya dan mencederakannya dengan teruk. Menurut Adrienne, selepas kejadian, suaminya mengalami beberapa serangan jantung sebelum meninggal dunia.
Dia juga menafikan dakwaan yang dilaporkan oleh beberapa stesen berita yang McAllister tidak dibenarkan berada dalam bilik tersebut.
“Beberapa stesen berita mengatakan dia tidak dibenarkan berada dalam bilik itu, sedangkan hakikatnya dia dibenarkan kerana juruteknik itu sendiri yang memanggilnya,” katanya.
































