Sebuah kelab bola sepak China didenda selepas meletakkan tangkal dalam bilik persalinan pihak lawan untuk memperoleh kemenangan.
BEIJING: Sebuah kelab bola sepak dari China didenda 30,000 yuan (RM19,000) selepas didapati meletakkan tangkal kertas di bilik persalinan pasukan lawan untuk memberi kelebihan kepada pasukan sendiri.
Menurut Utusan Malaysia, Changchun Xidu FC yang beraksi dalam saingan Liga Dua China didapati bersalah meletakkan beberapa barangan kepercayaan feudal dan tahyul di bilik persalinan pasukan pelawat sebelum perlawanan menentang Shanxi Chongde Ronghai pada 28 Jun lalu.
Gambar-gambar yang tersebar luas di media sosial China memaparkan tangkal kertas berwarna kuning bertulisan seperti ‘Dengan perintah ini, Shanxi Chongde Ronghai mesti dikalahkan’.
Tangkal yang dikenali sebagai ‘fu’ itu merupakan amalan Taoisme yang dipercayai dapat menyalurkan tenaga roh untuk membawa tuah namun, ia juga sering disalahgunakan bagi tujuan menimpakan nasib malang kepada orang lain.
Selepas meneliti bukti yang dikemukakan, Liga Bola Sepak Profesional China (CFL) mendapati kelab itu menggunakan barangan tahyul demi meningkatkan peluang kemenangan.
Walaupun pasukan itu menewaskan Shanxi Chongde Ronghai dengan keputusan 2-0, kejayaan tersebut tercemar dengan kontroversi penggunaan tangkal kertas tersebut.
Ini bukan kali pertama pasukan lawan menemui tangkal ketika menentang Changchun Xidu FC.
































