Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, kini berdepan tekanan hebat apabila gabungan pemerintah semakin goyah dan kontroversi diplomatik terbaharu mengancam untuk menamatkan kerajaannya yang hanya berusia 10 bulan.
Menurut Utusan Malaysia, pemimpin berusia 38 tahun itu terpaksa bergelut dengan pelbagai krisis dalaman, termasuk kelembapan ekonomi, pertikaian dalam gabungan dan tekanan untuk melaksanakan dasar utama parti Pheu Thai.
Namun, keadaan semakin rumit apabila tular rakaman panggilan telefon antaranya dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, di tengah ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu.
Dalam panggilan telefon pada 15 Jun lalu, Paetongtarn yang merujuk Hun Sen sebagai ‘pak cik’, bukan sahaja tunduk kepada tokoh politik veteran tersebut, malah turut merendah-rendahkan komander kanan tentera Thailand.
Rakaman itu mencetuskan perdebatan hangat di Parlimen dan membuka ruang kepada pembangkang untuk mempertikaikan kecekapan beliau sebagai ketua kerajaan.
Paetongtarn tampil membuat permohonan maaf secara terbuka pada 19 Jun lalu, sambil menjelaskan tidak mengetahui panggilan telefon bersama Hun Sen itu dirakam.
“Ini adalah panggilan peribadi daripada telefon saya,” katanya kepada pemberita.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Parti Bhumjaithai, yang ketiga terbesar di Dewan Rakyat, mengumumkan menarik diri daripada gabungan pemerintah.
Bahkan, ribuan penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Bangkok minggu lalu, bagi mendesaknya meletakkan jawatan.
Selasa lalu, Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung tugas Paetongtarn sementara meneliti petisyen yang dikemukakan oleh 36 senator bagi pemecatannya.
JENAMA SHINAWATRA
Paetongtarn merupakan wanita kedua dan individu termuda yang menjadi Perdana Menteri Thailand.
Beliau juga tidak pernah memegang sebarang jawatan sebelum dilantik mengetuai kerajaan.
Berpendidikan dari Universiti Chulalongkorn dan Universiti Surrey di United Kingdom (UK), beliau aktif dalam perniagaan keluarga Shinawatra sebelum menceburi politik serta dilantik sebagai Perdana Menteri.
Namun, latar belakang keluarga menjadikannya sentiasa terdedah kepada pasang surut politik Thailand sejak usia muda.
Ketika ayahnya, Thaksin Shinawatra, mula menyertai politik pada 1994, Paetongtarn berusia lapan tahun.
Thaksin mencatat kejayaan apabila menang besar dalam pilihan raya 2001 dan menjadi Perdana Menteri, namun digulingkan lima tahun kemudian melalui rampasan kuasa tentera.
Pada 2011, giliran ibu saudaranya, Yingluck Shinawatra, adik kepada Thaksin pula memegang jawatan Perdana Menteri, tetapi turut tersingkir selepas keputusan mahkamah dan kudeta tentera.
Dalam kempen pilihan raya 2023, Paetongtarn cuba menghidupkan semula legasi politik keluarganya dengan menonjolkan rekod pentadbiran Shinawatra terdahulu serta menjanjikan dasar kukuh untuk merangsang semula ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.
Ibu kepada dua anak itu tidak pernah menyembunyikan hubungan rapatnya dengan Thaksin, yang kembali ke negara itu pada 2023 selepas lebih 15 tahun hidup dalam buangan bagi mengelak hukuman penjara.
Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2024 selepas penyandang terdahulu disingkirkan oleh mahkamah, Paetongtarn terus berdepan cabaran besar dalam merealisasikan agenda partinya, di tengah bayangan kuat pengaruh bapanya yang masih bergelut dengan isu perundangan.
Thaksin bakal menjalani perbicaraan atas tuduhan melanggar undang-undang ketat ‘lese majeste’, yang digunakan untuk melindungi Raja Thailand daripada kritikan atau penghinaan.
Jika didapati bersalah, jutawan berusia 75 tahun itu boleh dipenjara sehingga 15 tahun.
Kini, masa depan politik keluarga Shinawatra sekali lagi berada di ambang kejatuhan, ketika generasi baharu menghadapi tekanan lama yang berulang.






























