CRIMEA: Seorang atlet seni bela diri campuran (MMA) dari Russia mencetuskan kemarahan ramai selepas memberi seekor orang utan menyedut rokok elektronik (vape) miliknya di sebuah taman safari menyebabkan haiwan itu dikatakan bertindak pelik dan kini terbaring lesu.
Menurut Utusan Malaysia, Anastasia Luchkina, 24, dirakam dalam satu video tular di media sosial menghisap vape sebelum menyerahkannya kepada seekor orang utan betina bernama Dana melalui pagar dawai di Taman Safari Taigan, Crimea.
Dalam rakaman tersebut, Dana meletakkan vape itu ke mulutnya, mengundur sedikit sebelum menghembuskan asap.
Luchkina turut memberi beberapa sedutan tambahan kepada haiwan berkenaan dalam video yang dikongsi sendiri olehnya. Tindakan itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menganggap perbuatannya sebagai penderaan haiwan.
Dana satu-satunya orang utan yang tinggal di Crimea sejak itu kehilangan selera makan, enggan berinteraksi dengan penjaga dan haiwan lain serta hanya terbaring lesu sepanjang hari.
Dana dibimbangi mungkin menelan kartrij e-rokok yang mengandungi antara 2.5 hingga tiga milimeter cecair nikotin.
Veterinar kini menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap Dana yang merupakan spesies terancam. Dana telah tinggal di taman safari berkenaan sejak 2018.
Walaupun terdapat laporan yang mengatakan Dana kembali normal, pihak berkuasa taman masih menjalankan siasatan.
Luchkina pula kemungkinan didenda dan diharamkan daripada memasuki taman safari itu pada masa akan datang.
Tindakan Luchkina turut dikritik hebat oleh pertubuhan hak haiwan antarabangsa. Naib Presiden PETA UK, Mimi Bekhechi menyelar perbuatannya sebagai satu pencabulan terhadap kebajikan haiwan pintar dan lembut itu.






























