NEW YORK: Tesla mencatatkan penurunan jualan sebanyak 13 peratus bagi suku kedua tahun ini, susulan kempen boikot yang dikaitkan dengan pandangan politik kontroversi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk.
Menurut Utusan Malaysia, dalam tempoh April hingga Jun, syarikat itu hanya berjaya menjual 384,122 unit kenderaan, berbanding 443,956 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Penurunan ini dilihat sebagai tanda bahawa kesan jangka panjang daripada sokongan terbuka Musk terhadap Presiden Donald Trump dan tokoh-tokoh sayap kanan Eropah masih belum reda, sekaligus menjejaskan imej jenama Tesla di mata pengguna global.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan bahawa prestasi kewangan Tesla bagi suku kedua – yang dijadual diumumkan hujung bulan ini – mungkin lebih lemah daripada jangkaan, selepas pendapatan bersih syarikat itu sudahpun menjunam 71 peratus pada suku pertama 2025.
Meskipun prestasi jualan keseluruhan menurun, saham Tesla melonjak sekitar 5 peratus pada Rabu (2 Julai), susulan pengumuman bahawa syarikat berjaya menghantar hampir 374,000 unit Model 3 dan Model Y dalam suku tersebut – melebihi jangkaan penganalisis, menurut firma data kewangan FactSet.
Sebelum ini, pengunduran rasmi Musk daripada peranannya dalam pentadbiran Trump sebagai penasihat penjimatan kos telah menimbulkan harapan bahawa Tesla bakal memulihkan prestasi jualannya. Namun begitu, angka terbaharu ini menunjukkan cabaran persepsi terhadap Musk masih membayangi kejayaan produk syarikat.
Penganalisis pasaran menjangka Tesla akan terus berdepan cabaran dalam mengekalkan pertumbuhan jualan, terutama di pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan Eropah, di mana sensitiviti terhadap isu politik semakin memberi kesan terhadap keputusan pengguna.
Walaupun model kenderaan Tesla kekal kompetitif dari segi teknologi dan harga, imej jenama yang terikat rapat dengan personaliti dan pendirian politik Elon Musk dijangka terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi prestasi syarikat dalam jangka pendek.






























