DUBAI: Penduduk dan pelawat di Dubai mungkin dapat mengelak kesesakan lalu lintas dengan menaiki teksi terbang elektrik, susulan kejayaan ujian penerbangan pertama kenderaan udara tersebut yang dijalankan syarikat Joby Aviation.
Menurut Utusan Malaysia, penerbangan percubaan itu yang berlangsung di kawasan gurun terpencil di tenggara bandar raya ini, merupakan detik penting dalam usaha pihak berkuasa Dubai untuk menyepadukan pengangkutan udara ke dalam rangkaian mobiliti sedia ada seawal tahun depan.
Menurut Pengurus Besar Joby Aviation UAE, Anthony Khoury, projek itu dijangka mampu mengurangkan tekanan terhadap sistem pengangkutan darat yang semakin sesak serta menawarkan pilihan perjalanan yang lebih pantas kepada pengguna.
Sebagai contoh, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) ke Palm Jumeirah dijangka hanya mengambil masa 12 minit menggunakan teksi udara Joby berbanding kira-kira 45 minit jika menaiki kereta.
Bagaimanapun, beliau mengakui pada peringkat awal, harga tambang dijangka lebih tinggi dan menyasarkan golongan berpendapatan tinggi.
Teksi Udara Joby ialah pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) yang dibangunkan syarikat berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS) serta boleh terbang sejauh sehingga 160 kilometer dengan kelajuan maksimum mencecah 320 kilometer sejam.
Kenderaan udara itu digambarkan mesra alam dan senyap untuk digunakan dalam kawasan bandar padat.


































