Ellron Angin
KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menerima suapan atau terlibat dalam sebarang transaksi bernilai RM530,000 sebagaimana dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini pada 28 Jun lalu.
Dalam kenyataan hari ini, beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, berunsur fitnah dan bermotifkan politik tidak matang yang bertujuan mencemarkan nama baik serta menjejaskan integriti beliau sebagai wakil rakyat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya menerima suapan atau terlibat dalam transaksi bernilai RM530,000. Tuduhan ini adalah fitnah yang tidak berasas dan bermotifkan politik tidak matang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook itu.
Ellron menegaskan bahawa beliau sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam memerangi rasuah.
“Saya tidak akan berdiam diri. Kebenaran mesti ditegakkan,” katanya lagi sambil memaklumkan bahawa pasukan undang-undangnya telah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan dakwaan palsu tersebut.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan menyebarkan maklumat tidak benar hanya akan merosakkan keharmonian politik dan memberi kesan buruk kepada usaha membangunkan negeri dan memperjuangkan nasib rakyat.
Ellron berkata, beliau tetap komited menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota Kabinet Sabah dengan penuh dedikasi dan amanah.
“Saya yakin rakyat dapat menilai kebenaran dan tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi yang tidak berasas,” tambah beliau.






























