Hajiji menyaksikan penyerahan simbolik kunci SDCC daripada Abdul Gapar (kanan) kepada Safar (kiri).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, telah melancarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC), yang merupakan pusat pertama seumpamanya di Malaysia dan dibiayai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Dibangunkan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan NADMA, SDCC akan memastikan tindakan yang lebih pantas dan terselaras sekiranya berlaku bencana,” kata Hajiji semasa merasmikan pembukaan SDCC di Menara Kinabalu, hari ini.
Terletak di Aras 4, Blok A Menara Kinabalu, SDCC berfungsi sebagai platform bersepadu untuk menyelaras tindakan agensi keselamatan dan penyelamat, NGO serta badan penyelidikan semasa berlakunya bencana.
SDCC dilengkapi dengan teknologi maklumat dan komunikasi terkini, termasuk sistem persidangan video serta pangkalan data komprehensif untuk pengumpulan dan penganalisisan maklumat berkaitan bencana.
Pusat bernilai RM750,000 itu mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif; Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Abdul Gapar Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri merangkap sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Ag. Shahminan Ag. Sahari; dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mohd. Yusoff Samad.
































