Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyifatkan desakan agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor merehatkan wakil-wakil rakyat kerajaan GRS-PH Sabah yang dikaitkan dengan skandal rasuah sebagai tidak wajar dan tidak relevan, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, desakan tersebut yang dibuat oleh Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman dilihat sebagai cubaan mengalihkan tumpuan daripada kes yang sedang dihadapi oleh pemimpin utama UMNO sendiri.
“Saranan berehat sepatutnya ditujukan kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua Umno Sabah, yang secara jelas telah diarahkan membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zulkarnain, walaupun berdepan kes mahkamah, Bung Moktar masih menjalankan tugas sebagai Ketua UMNO Sabah dan menyimpan hasrat untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Beliau juga dijangka sibuk turun naik mahkamah selepas percubaan terakhirnya mencabar keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk menggugurkan kes tersebut telah gagal,” katanya.
Zulkarnain berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadap dua wakil rakyat mewakili GRS dan Umno mesra GRS baru sahaja bermula dan mereka wajar diberikan ruang untuk membela diri serta membersihkan nama di mahkamah.
“Namun lebih ironik, masih terdapat banyak kes rasuah membabitkan pimpinan Umno Sabah yang belum dirungkai. Antaranya kes rampasan wang tunai RM170 juta dan jongkong emas seberat 16 kilogram yang dikaitkan dengan isteri seorang pemimpin Umno, komisen RM6 juta berkait projek pembinaan hospital, serta pembelian barangan golf bernilai RM200,000 secara tunai,” katanya.
Tambah beliau, beberapa nama lain yang dikaitkan dengan individu dikenali sebagai Albert Tei juga disebut dalam pelbagai dakwaan yang masih belum disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Rosman dilihat cuba membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap kepincangan dalam Umno sendiri. Rakyat Sabah sudah lama menolak UMNO dan PRN-17 nanti pasti akan menjadi saksi kepada penolakan yang lebih ketara,” ujar beliau.
Zulkarnain turut mengingatkan bahawa sebarang desakan untuk membubarkan DUN tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mewajarkan campur tangan terhadap proses undang-undang dan urusan pentadbiran kerajaan negeri yang sah.
Beliau menegaskan bahawa G67 akan terus mempertahankan integriti dan hak wakil-wakil rakyat kerajaan GRS-PH yang kini menjadi sasaran serangan politik bermotifkan kepentingan sempit.


































